PETALING JAYA: UOB Malaysia mengembangkan program pembelajaran dan pembangunannya, Better U, dalam usaha membolehkan kakitangannya menguasai kemahiran dalam analisis data dan pengurusan projek, dua bidang yang
penting untuk kebolehpasaran masa hadapan.
Better U yang dilancarkan pada Mac 2020 merupakan program latihan utama Kumpulan UOB yang memenangi anugerah dan disediakan bersama dengan program latihan dan pelatihan Bank yang lain untuk kakitangannya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Negara Sumber Manusia, UOB Malaysia, Lai Tak Ming berkata, pengembangan program Better U mengesahkan komitmen jangka panjang bank untuk melabur dalam tenaga insannya dan pembangunan mereka.
“Di UOB Malaysia, kami percaya penting untuk kakitangan kami belajar dan membangun secara berterusan bagi pertumbuhan peribadi dan profesional mereka. Teknologi baharu akan terus membentuk pilihan dan tingkah laku pengguna, serta mempengaruhi industri kewangan.
“Justeru, adalah penting kakitangan kami diperkasakan dan dilengkapi dengan set kemahiran yang sesuai untuk memenuhi keperluan industri hari ini dan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Tak Ming, dua bidang pengajian baharu program Better U itu adalah kemahiran penting yang boleh digunakan dalam semua fungsi Bank.
“Kakitangan kami yang menjalani program latihan akan mempelajari kemahiran baharu yang boleh membantu mereka untuk terus berada di hadapan selain menyediakan mereka untuk pekerjaan masa hadapan,” jelasnya.
Walaupun bank bermula dengan dua bidang pengajian tahun ini iaitu analisis data dan pengurusan projek, UOB Malaysia merancang untuk mengembangkan bidang pengajian khusus dalam bidang lain seperti kecerdasan buatan dan kemampanan menjelang 2023.
Bidang pengajian analisis data dan pengurusan projek menampilkan tiga peringkat progresif, yang digital sepenuhnya dan disediakan dalam kandungan bersaiz kecil, supaya kakitangan boleh mempelajarinya mengikut kelajuan dan keselesaan mereka sendiri.
UOB Malaysia telah mengambil pengajaran daripada sekatan pergerakan dan penjarakan yang selamat berikutan Covid-19 untuk memastikan semua kakitangan dapat memperoleh kemahiran yang mereka perlukan, dari jarak jauh dan berdasarkan keperluan pekerjaan dan kehidupan di rumah mereka.
Setiap peringkat program latihan khusus membolehkan para peserta belajar dan memperoleh kemahiran berdasarkan tahap pengalaman dan pengetahuan mereka.
Ini memastikan bahawa latihan tersebut adalah sesuai dengan kakitangan yang ingin meningkatkan kemahiran ataupun para pengamal yang perlu meningkatkan kemahiran diri dalam disiplin yang dipilih. – UTUSAN