Untung bersih, hasil Bursa Malaysia merosot - Utusan Malaysia

Untung bersih, hasil Bursa Malaysia merosot

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) merosot 44 peratus kepada RM68 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2022 daripada RM121.4 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Penurunan itu disebabkan hasil operasi yang lebih rendah pada suku berkenaan, susut 29.4 peratus kepada RM161 juta berbanding RM228 juta bagi tempoh sama 2021, berikutan pengurangan hasil dagangan sekuriti.

Pendapatan bagi tempoh itu juga menurun kepada RM165.3 juta daripada RM232.28 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, nilai purata dagangan harian (ADTV) sekuriti yang kembali normal kepada paras sebelum pandemik menyumbang kepada penurunan keuntungan pada suku pertama berbanding tempoh sama 2021.

“Keuntungan bersih adalah 4.6 peratus lebih tinggi daripada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM65 juta, terutamanya disumbangkan oleh 2.8 peratus ADTV yang lebih tinggi dicatatkan pada suku semasa.

“Bagaimanapun, dengan pembukaan semula ekonomi dan sempadan antarabangsa, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangkakan unjuran pertumbuhan negara sekitar 5.3 peratus hingga 6.3 peratus.

“Itu akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik apabila negara bergerak ke fasa endemik. Justeru, kami menjangkakan lebih banyak peluang dagangan untuk pelabur disebabkan pergerakan harga minyak sawit mentah, kadar faedah dan FBM KLCI,” katanya dalam kenyataan.

Pada suku dikaji, Pasaran Sekuriti merekodkan hasil keuntungan dagangan sebanyak RM80.4 juta, susut 46.7 peratus daripada RM150.9 juta pada suku pertama 2021.

Ia disebabkan ADTV yang lebih rendah bagi Securities Market On-Market Trades (OMT) dan Direct Business Trades (DBT) pada suku pertama sebanyak RM2.7 bilion berbanding RM5.2 bilion pada tahun sebelumnya.

Dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada suku dikaji berjumlah RM1.5 bilion, jauh lebih tinggi daripada RM200 juta yang diperoleh pada suku pertama 2021.

Muhamad Umar menjelaskan, bagi memastikan dapat mengekalkan minat pelabur global, kami akan terus meningkatkan daya tarikan penerbit tersenarai melalui program seperti Transformasi PLC yang dilancarkan awal tahun ini.

“Selain itu, selaras dengan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) dan Agenda Tadbir Urus Sosial Alam Sekitar (ESG), Bursa akan terus menyampaikan tawaran produk baharu serta platform dagangan karbon sukarela baharu yang akan meningkatkan keluasan dan kedalaman ekosistem,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya