PETALING JAYA: Kerajaan perlu menggubal undang-undang bagi pengguna vape berdasarkan keperluan pengguna atau sebarang usaha untuk menghalalkan industri tersebut akan menjadi sia-sia.
Ahli perniagaan vape, Adrian Lo berkata, undang-undang yang terlalu ketat akan membuatkan pengguna rokok elektronik kembali merokok atau beralih kepada produk yang tidak terkawal.
“Berdasarkan tinjauan laman sosial, majoriti 87.9 peratus daripada 1,633 responden menyokong pengenalan regulasi rokok elektronik yang berbeza daripada rokok konvensional.
“Sebagai pengguna dan juga pemilik perniagaan, saya agak terkesan dengan langkah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melabel tembakau dan vape sebagai produk yang sama dan mengawal kedua-dua produk dengan cara yang sama.
“Peraturan untuk produk vape mestilah berbeza daripada tembakau konvensional kerana kedua-dua produk ini tidak sama. Pelbagai laporan antarabangsa telah mendapati vape kurang memudaratkan dan berkesan untuk berhenti merokok, manakala tembakau telah membunuh lebih daripada lapan juta orang setiap tahun.
“Oleh itu adalah salah untuk mengawal kedua-dua produk dengan cara yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas mengenai cadangan KKM untuk mengharamkan akses kepada produk rokok elektronik bagi individu yang dilahirkan selepas 2005, Adrian Lo juga berkata langkah itu tidak akan berkesan.
“Mengharamkan akses kepada produk vape tidak bermakna produk ini tidak lagi tersedia kepada mereka yang lahir selepas 2005. Secara mudahnya, kumpulan pengguna ini akan membeli daripada sumber yang meragukan dan paling teruk, mendapatkan produk vape yang tidak terkawal dan tidak mematuhi sebarang piawaian.
“Lebih berbahaya, pengguna akan mengambil produk yang tidak diketahui bahannya. Ini akan mengakibatkan penguatkuasaan akan menjadi sangat mencabar,” ujarnya.
Tambah beliau, keputusan tersebut sukar diterima kerana seorang yang berusia 18 tahun ke atas boleh mengundi dan memandu kenderaan namun tidak dibenarkan mengakses produk yang dianggap kurang memudaratkan berbanding rokok.
“Jika matlamat KKM adalah untuk mewujudkan negara bebas asap rokok, maka langkah yang tepat ialah produk vape dikawal dan diiktiraf sebagai alternatif yang boleh membantu perokok menghentikan tabiat itu,” tambahnya. – UTUSAN