PETALING JAYA: TM Wholesale, cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Telin, anak syarikat PT Telkom Indonesia, Tbk (Telkom) menjalin usaha sama strategik dan meneroka peluang perniagaan kabel dasar laut bersama.
Kolaborasi terbaharu itu akan mengukuhkan lagi hubungan Perniagaan dengan Perniagaan (B2B) dan meluaskan kerjasama antara kedua-dua pihak serta menyediakan penyelesaian sambungan yang boleh dipercayai, dipelbagai dan tanpa gangguan kepada pelanggan mereka.
Naib Presiden Eksekutif TM Wholesale, Amar Huzaimi Md. Deris berkata, pihaknya komited untuk menyampaikan kebolehcapaian yang lebih besar dan ketersambungan yang berdaya tahan kepada pelanggan.
Ujarnya, kerjasama ini membolehkan TM memperoleh kapasiti kabel dasar laut segera dalam menangani permintaan yang semakin meningkat untuk perkhidmatan jalur lebar.
“Ia turut memberi akses kepada sambungan yang pelbagai dan laluan alternatif yang menghubungkan Malaysia ke seluruh dunia, disamping mengoptimumkan kapasiti kabel dasar laut sedia ada kami.
“Selain itu, ia juga membuka ruang untuk kami meneroka pendekatan paling kos efektif untuk projek pelaburan kabel dasar laut akan datang yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Telin, Budi Satria Dharma Purba memberitahu, Telin dan TM Wholesale berkongsi kepentingan bersama yang bertujuan untuk memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada pihak-pihak yang berkepentingan.
“Kali ini, kami teruja untuk bersama-sama meneroka peluang dalam aktiviti membeli, menjual, menaik taraf dan melabur, terutamanya dalam hal-hal berkaitan kabel dasar laut.
“Penyertaan Telin dalam ketersambungan global bertumpu pada memastikan ketersambungan yang boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan internet pantas yang makin melonjak berikutan trend semasa seperti pengaturan kerja yang fleksibel, penstriman video dan permainan.
“Kami percaya kerjasama ini akan memenuhi keperluan semua pihak yang berkepentingan dengan sewajarnya,” ujarnya.
Pada masa ini, TM mempunyai 30 sistem kabel dasar laut yang dimiliki mahupun dipajak, menjangkau lebih 320,000 kilometer di seluruh dunia dan Telin mempunyai 22 sistem kabel dasar laut, dimiliki dan dipajak, melebihi 222,260 kilometer.
Kedua-dua pihak dapat memanfaatkan keupayaan masing-masing untuk memberikan prestasi perkhidmatan tertinggi dan pengalaman kualiti terbaik kepada semua pelanggan. – UTUSAN