PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baharu bermula 1 Jun ini bagi menggantikan Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Mei ini.
Syed Zaid telah dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif SC selama tiga tahun sejak 2018 sebelum dilanjutkan tempoh perkhidmatannya tiga tahun lagi pada 1 November 2021.
Tempoh kontrak tersebut sepatutnya berakhir pada 2024.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan telah menerima peletakan jawatan Syed Zaid mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan, serta khidmat bakti beliau.
Katanya, pelantikan Awang Adek berkuat kuasa selama tiga tahun mulai 1 Jun ini hingga 31 Mei 2025 itu adalah bagi memastikan kesinambungan pentadbiran SC selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].
“Awang Adek mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam. Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.
“Antara pengalaman beliau adalah sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, bekas ahli Lembaga Pengarah SC, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Ketua Pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan (LOFSA) dan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.
Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi.
Januari lalu, SC telah meminta semua pihak yang terbabit, termasuk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki untuk memberi penjelasan susulan pengakuan bahawa akaun sekuritinya digunakan oleh adik beliau bagi membeli kepentingan dalam beberapa syarikat.
Azam sebelum itu mendakwa, saham-saham yang dibeli adiknya tiada kaitan dengan siasatan SPRM dan beliau tidak mempunyai kepentingan ke atas saham-saham terbabit.
Pada masa yang sama, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan kepada SPRM mengenai salah laku dan jenayah rasuah membabitkan pengurusan tertinggi SC serta ahli lembaga pengarahnya. -UTUSAN