INDUSTRI rokok elektronik dan vape di negara ini bukan baharu. Namun, ia sering dikaitkan dengan perkara negatif terutama gejala yang tidak sihat. Ini menyebabkan para pengusaha vape berada dalam dilema kerana tidak ada peraturan atau garis panduan khusus daripada pihak kerajaan untuk mengawal selia industri itu.
Sedangkan ia bukan industri picisan kerana menurut Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), daripada kajian, industri vape menyumbangkan RM2.27 billion kepada ekonomi negara.
Malah pengusaha vape bersedia jika kerajaan mengenakan cukai ke atas produk itu terutama ke atas cecair bernikotin.
Ikuti temu bual dengan Pengarah Urusan Nanostix Innovation Sdn. Bhd. (NISB), Shahabudeen Jalil mengenai keluh kesah mereka yang terlibat dalam industri ini. NISB adalah salah sebuah syarikat pengeluar vape milik terbesar di negara ini milik bumiputera.
UTUSAN: Kenapa komuniti usahawan vape menggesa dan menyokong kerajaan supaya mengeluarkan satu garis panduan termasuk peraturan untuk kawal selia industri vape?
SHAHABUDEEN: Industri ini berpotensi besar menyumbang kepada pendapatan negara. Tetapi pada masa ini tidak ada peraturan, garis panduan atau undang-undang untuk mengawal selianya. Dengan adanya peraturan untuk kawal selia, bukan sahaja industri ini terkawal, yang paling utama kerajaan boleh menambah pendapatan melalui kutipan cukai eksais dan cukai pendapatan.
Industri ini bukannya kecil. Ia telah melahirkan ramai usahawan bumiputera serta peluang pekerjaan yang besar kepada rakyat.Mereka ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Wujudkan peraturan. Dengan itu akan ada sistem kawal selia menyeluruh yang boleh menjamin keselamatan serta mengelakkan penyalahgunaan.
Cadangan mengharamkan terus rokok elektronik dan vape, apa implikasi kepada ekonomi?
Jika ini dilakukan, maka kami menganggap ia satu kerugian kepada negara. Ibarat marah kepada nyamuk, maka kelambu yang dibakar. Sebabnya, ia akan menyebabkan kehilangan sumber pendapatan yang besar. Satu hal lagi yang perlu diambil perhatian ialah dengan pengharaman itu tidak bermakna vape ini tidak akan masuk ke Malaysia. Pengharamannya hanya akan menggalakkan aktiviti penyeludupan dan penghasilan produk yang tidak dikawal selia. Ini lebih teruk dan lebih serius berbanding membenarkannya di bawah kawal selia yang ketat.
Jika pengharaman ini dilakukan, berapa banyak pihak yang akan terjejas dan berapa pula kerugian kepada pendapatan negara?
Ia akan melibatkan banyak pihak dan ramai yang akan terjejas. Kami adalah syarikat tempatan. Sepanjang empat tahun beroperasi kami telah membayar cukai sebanyak RM52 juta kepada kerajaan. Kami membuktikan bahawa industri ini ada sumbangan kepada kerajaan dan negara. Kami menjangkakan jika pengharaman itu dilakukan, kerajaan akan kehilangan pendapatan hampir RM500 juta dari keseluruhan industri rokok elektronik.
Selain itu, kira-kira 15,000 pekerja dalam kitaran industri ini akan kehilangan punca pendapatan. Ia akan memberi kesan kepada mereka yang mengusahakan outlet-outlet menjual vape dan cecair vape. Dan sudah tentu akan menyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran kerana mereka ini akan kehilangan kerja.
Jika pengharaman ini dilakukan secara total, adakah bermakna produk ini tidak lagi berada di pasaran? Bagaimana dengan produk seludup?
Kerajaan perlu melihat, adakah jika pengharaman secara total ini dilakukan adakah ia bermaksud tiada sebarang kelompongan dalam penguatkuasaan?
Apakah tidak akan ada aktiviti penyeludupan? Adakah dengan pengharaman ini ada jaminan tidak akan wujud pasaran gelap? Kalau tiada jaminan kepada semua persoalan ini bermakna produk seludup pasti akan membanjiri pasaran kita. Ia akan berlaku sama seperti yang berlaku dalam industri rokok hari ini. Berapa bilion kerajaan rugi setiap tahun kerana aktiviti seludup rokok ini? Adakah kerajaan akan membenarkan perkara sama berlaku pada pasaran vape? Dijual di pasaran gelap dengan kerajaan langsung tidak mendapat apa-apa pulangan?
Pihak-pihak yang menentang penjualan vape sering mengaitkannya dengan masalah kesihatan kerana dianggap sama seperti rokok? Adakah vape lebih baik daripada rokok daripada aspek kesihatan?
Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Public Health Of England, rokok elektronik adalah satu alternatif paling ampuh untuk menghilangkan ketagihan merokok. Mereka menyatakan bahawa ia 95 peratus lebih selamat berbanding rokok tradisional.
Ini kajian oleh pakar perubatan yang ditulis dalam jurnal perubatan. Bukan kenyataan yang direka-reka oleh para pengeluar vape.
Malah, berdasarkan testimoni pelanggan Nanostix pula, ramai yang menyatakan bahawa mereka berjaya berhenti merokok dan secara peribadi merasakan tahap kesihatan mereka lebih baik.
Pengeluar kata vape mengurangkan ketagihan rokok. Tetapi kumpulan antivape kata ketagihan vape sama seperti ketagihan merokok. Adakah fakta ini betul?
Perkara ini harus dilihat bukan secara binari di mana hanya buruk dan baik saja dinilai. Tetapi kita harus melihat dari aspek kemudaratan yang lebih ringan. Antara vape dan rokok yang mana kurang memudaratkan kepada kesihatan awam? Banyak kajian saintifik telah dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) bahawa mudarat yang dibawa oleh vape jauh lebih rendah berbanding rokok. Jangan buat keputusan kerana emosi, tetapi biarlah berasaskan kajian saintifik dan profesional.
Kami merasakan, satu kajian saintifik perlu dilakukan bagi mengesahkan perkara ini. Jika tidak, ia akan menjadi satu polemik yang tidak berkesudahan.
Apa rayuan pemain dalam industri vape kepada kerajaan?
Kami merayu kepada kerajaan agar melibatkan semua pemain industri untuk berkongsi pandangan dan bersama-sama merangka satu penyelesaian yang terbaik.
Dalam apa juga keputusan yang bakal dibuat, kami perlu dilibatkan.
Dapatkan input daripada kami sendiri sebelum apa-apa keputusan dibuat. Kerana ia memberi kesan yang besar bukan sahaja kepada kami, iaitu pengusaha, tetapi juga mereka yang bergantung kepada industri ini sebagai periuk nasi mereka. Kami amat berharap kerajaan tidak mengetepikan pandangan kami dalam apa juga keputusan yang membabitkan masa depan industri ini. – UTUSAN