Yamaha Tracer motosikal untuk jarak jauh, kembara dan penerokaan

Yamaha Tracer 9 GT – Jentera `Touring’ serius daripada Yamaha

yamaha
Yamaha Tracer 9 GT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umum mengetahui jentera Yamaha Tracer GT 900 adalah sebuah motosikal untuk jarak jauh, kembara dan penerokaan penunggangan tanpa mengorbankan tahap keselesaan penunggangnya. Umum juga mengetahui Yamaha Tracer adalah model yang diubah suai daripada Yamaha MT-09 yang kini sudah pun dihasilkan dalam 3 tahap evolusi. Bagi mereka yang benar-benar mengikuti perkembangan model ini, turut mengetahui bahawa jentera ini menggunakan enjin 3 silinder dan turut berkongsi teknologi ‘Cross Plane’ yang begitu sinonim dengan jentera berkapasiti besar daripada Yamaha.

Seperti MT-09, Tracer ini juga kini dipasarkan dengan model versi ke-3 dan lebih banyak tertumpu kepada penambahbaikan sistem elektronik serta suspensi. Ketika versi pertama mula diperkenalkan, Yamaha Tracer ini ternyata mempunyai sistem suspensi yang lebih baik daripada MT-09 V1. Malah, sistem penalaan pendikitnya jauh lebih senang dikawal berbanding MT-09 V1 ketika itu yang agak ‘kasar’ pengawalan pendikitnya. Pengendalian dan penunggangan Tracer V1 ketika itu jauh lebih baik dan lebih hebat berbanding MT -09.

Adakah Tracer 9 GT V3 ini berbeza daripada MT-09 V3 atau versi-versinya yang terdahulu? Ayuh kita `kupas’ jentera ini.

PENAMPILAN
Tidak seperti MT-09 V3, Tracer GT 9 V3 menggunakan lampu berkembar seperti V2 yang lalu, namun diubah fungsi utamanya apabila lampu utama model ini dipertanggungjawabkan kepada dua lampu LED bulat yang pada awalnya disangkakan hanya lampu “daylight” atau “spotlight”. Ketika penggunaan suluhan rendah, hanya sebelah kanan lampu bulat tersebut akan menyala, dan apabila kita gunakan suluhan jauh, kedua-dua lampu bulat tersebut menyala. Suluhan kedua-dua lampu ini agak mencukupi sebenarnya sama ada untuk jarak biasa atau suluhan jarak jauh. Lampu berkembar yang kita sangka lampu utama itulah sebenarnya lampu “daylight”. Ini bermaksud terdapat barisan lampu LED yang menyala berterusan sekadar untuk memberi kebolehan mudah dilihat oleh pengguna jalan raya lain.

Boks penyimpan barangan adalah aksesori.

Terdapat juga satu fungsi yang agak jarang-jarang didapati pada jentera jenama lain, lampu berkembar “daylight” bahagian atas ini juga akan menyala mengikut bahagian motosikal yang mengiring. Ini bermaksud, apabila motosikal ini sedang mengambil selekoh ke kiri, lampu kiri ‘daylight’ ini akan menyala untuk membantu menerangi laluan belah kiri. Fungsi yang sama juga ketika motosikal ini mengambil selekoh belah kanan dan akan menyaksikan lampu kanan ‘daylight’ akan menyala. Sebaik sahaja anda tamat mengambil selekoh dan kembali menunggang dalam keadaan menegak, hanya barisan lampu LED yang menyala! Cukup menarik!

Satu perkara yang perlu anda tahu ialah, Yamaha Tracer 9 GT untuk pasaran luar negara didatangkan dengan beg panel sisi atau boks penyimpan barang sisi (kiri dan kanan). Namun entah kenapa, ia tidak didatangkan sekali untuk pasaran tempatan. Unit ujian yang saya tunggang ini dipasang dengan boks penyimpan barangan daripada jenama GIVI yang agak terkenal dari Itali. Begitupun, saya dapati ia seperti ‘tidak sepadan’ dengan rekaan model ini, sama ada dari segi warna atau fizikalnya.

Sehinggakan saya mendapati, kelebaran boks ini agak ‘merbahaya’ kerana ia melebihi ukuran handlebar motosikal. Keengganan Yamaha Malaysia untuk menyertakan sekali beg sisi asli yang sudah tentunya lebih padan dengan konsep dan rekaan jentera ini, sejak dari model V2 lagi, atas alasan harga yang terlalu mahal, agak tidak masuk akal kerana boks daripada GIVI ini juga tidaklah semurah yang disangka. Selain ia adalah diimport dari Itali, keperluan pemasangan besi pemegangnya yang juga dicaj harga tambahan, membawa hampir kepada harga asal panel beg sisi asli Yamaha Tracer 9 GT ini. Lagipun, beg panel sisi ini siap dengan penyangkut dan kunci untuk dipasang pada panel ‘rumah’ yang sudah sedia ada pada motosikal.

Casis dan enjin juga turut dikongsi dengan model MT-09, kecuali sistem suspensi hadapannya adalah dilaras secara elektronik dan lengan ayun (swing arm) Tracer ini lebih panjang untuk membolehkan ia menanggung bebanan berat daripada boks-boks barangan yang dipasang dan berat pembonceng.

Meter Tracer 9 ternyata agak sedikit pelik apabila menampilkan dua bahagian petak yang mempamerkan informasi-informasi penalaan dan ‘set up’ fungsi jentera. Suis atau tombol kawalannya berada pada kedua-dua belah handel dan saya menjangkakan akan membuat pemiliknya memerlukan masa untuk mengawal keseluruhan fungsi yang boleh dilaras untuk motosikal ini. Ternyata meter model ini adalah seperti papan pemuka sebuah komputer, kerana ia sarat dengan informasi-informasi.

Cermin penghadang angin boleh laras (secara manual), ternyata begitu berfungsi melindungi penunggangnya daripada tujahan angin yang kuat, juga mampu mengurangkan sedikit kebasahan akibat titisan-titisan hujan sementara anda mencari tempat berteduh. Cermin sisinya juga berfungsi sangat baik dan membolehkan anda melihat arca pantulan daripada belakang dengan jelas tanpa gangguan gegaran akibat daripada enjin atau permukaan jalan raya yang tidak rata.

Meter baharu untuk 2022

PENUNGGANGAN
Yamaha Tracer 9 GT sememangnya dicipta untuk tunggangan jarak sederhana dan jauh. Penunggangan yang selesa atas kusyen pelananya yang empuk, sama ada untuk penunggang atau pembonceng. Sekurang-kurangnya, penunggangan dalam tempoh satu jam tidak akan melenguhkan punggung anda, serta ia mempunyai kebolehan dilaras 2 tahap ketinggian. Ini menyebabkan model versi ke 3 ini mempunyai ketinggian pelana yang 15mm lebih rendah daripada varian terdahulu.

Walaupun ia adalah motosikal untuk jarak jauh, penggunaan jentera ini di tengah bandar tidaklah mengecewakan. Versi ke-3 ini ternyata lebih berkuasa daripada model terdahulu, iaitu 889cc berbanding 847cc. Enjin V3 ini 1.7kg lebih ringan, serta ekzos baharu yang juga 1.4kg lebih ringan daripada model sebelum ini. Nisbah gear pertama dan kedua telah diubah supaya memberikan kuasa tujahan yang lebih baik di peringkat julat bawahan. Kesemua pembaharuan mekanikal ini ternyata meningkatkan keupayaan dan kuasa tork jentera ini dalam penunggangan jarak dekat atau dalam bandar.

Tracer 9 GT meluncur daripada gear 1 ke gear 6 dengan sangat efisien akibat daripada sistem klac ‘slip and assist’, yang membolehkan penunggangnya menukar naik gear tanpa perlu menarik tuas klac. Fungsi ini selalunya dibekalkan pada motiskal-motosikal sport, tetapi Yamaha inginkan penunggangnya memperolehi kuasa enjin yang baik di samping kestabilan dalam setiap perjalanan. Dibantu dengan sistem elektronik yang membolehkan penunggang memilih sendiri keupayaan cengkaman tayar dalam penunggangan (traction control), kebolehan pemilihan mode kuasa enjin yang sesuai mengikut cuaca dan permukaan jalan raya, serta keupayaan fungsi-fungsi utama motosikal ketika dalam keadaan mengiring dalam pengambilan selekoh. Ditambah pula dengan keupayaan menunggang jarak jauh dengan kapasiti bahan api yang boleh diisi dalam tangki minyaknya yang berukuran 18 liter.

Penggunaan lampu yang sesuai untuk siang dan malam.

KESIMPULAN
Akibat daripada `kebolehan-kebolehan’ tambahan dalam sistem elektronik Yamaha Tracer 9 GT, harga jualan motosikal ini ternyata mencecah lebih RM10,000 daripada harga model tahun lepas. Dijual pada harga sebelum cukai jalan, pendaftaran dan lain-lain, iaitu sebanyak RM69,498.00, ternyata bagi saya, sangat berbaloi dengan kecanggihan elektronik yang terdapat pada Tracer 9 GT. Saya yakin, bagi mana-mana pemiliknya akan ‘panas punggung’ akibat teringat akan keseronokan menunggang Yamaha Tracer 9 GT ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya