PETALING JAYA: Subsidi haji bersasar dan perancangan strategi baharu perlu dilaksanakan secepat mungkin oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi mengelakkan jumlah subsidi yang besar dan menjejaskan keseluruhan organisasi itu, menurut penganalisis ekonomi.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, sekiranya bantuan haji dikekalkan seperti sekarang, ada kemungkinan subsidi yang ditanggung oleh TH setiap tahun akan melebihi RM400 juta (berdasarkan 30,000 jemaah haji).
Menurutnya, keadaan itu akan menjejaskan keuntungan TH secara keseluruhan serta kadar hibah yang diberikan kepada semua pendeposit setiap tahun.
“Ia tidak akan bersifat adil kepada pendeposit TH lain yang belum menunaikan haji kerana hibah yang diterima menjadi rendah disebabkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang bukan semua daripada golongan B40.
“Oleh itu, saya berharap subsidi bersasar kepada golongan yang amat memerlukan seperti Orang Kelainan Upaya (OKU) dan B40 dapat dilaksanakan dan kos haji sebenar ditanggung oleh pendeposit M40 dan T20,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perancangan strategi baharu perlu dilaksanakan selain mengadakan subsidi bersasar untuk bakal jemaah haji mengikut latar belakang pendapatan mereka.
Ujarnya, langkah itu dapat membebaskan TH daripada kekangan jumlah subsidi yang besar, selain kelebihannya juga boleh diberikan kepada golongan T20 dan M40 dengan pakej yang lebih murah dan lebih baik daripada pakej Muasasah.
“Justeru, pakej Muasasah dapat diberikan kepada golongan B40 dengan subsidi yang lebih besar bagi membantu mereka mengerjakan haji. Subsidi secara bersasar ini akan memberikan ruang kepada TH untuk menguruskan kewangannya dengan lebih berkesan.
“Mungkin langkah ini tidak difikirkan sewaktu penubuhan TH dahulu, tetapi kini banyak faktor yang memaksa TH untuk mengubah strategi agar dapat terus membantu umat Islam di negara ini mencapai cita-cita mengerjakan rukun Islam yang kelima itu.
“TH perlu bijak mengatur strategi bagi membantu jemaah haji sekarang, dan ia juga perlu diseimbangkan dengan keperluan untuk memastikan organisasi TH terus berdaya tahan pada masa depan,” jelasnya.
Baru-baru ini, TH menjangkakan kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 seorang susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.
Kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada 2019 ialah RM22,900.
Peningkatan 12 peratus itu mengambil kira peningkatan Cukai Tambah Nilai yang telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan, tidak mengambil kira pelbagai peningkatan kos dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang akan dilaksanakan tahun ini. – UTUSAN