Pembukaan sempadan pulih pasaran pekerjaan - Utusan Malaysia

Pembukaan sempadan pulih pasaran pekerjaan

PEMBUKAAN semula sempadan antarabangsa akan membawa lebih banyak impak positif kepada aktiviti berkaitan pelancongan serta pasaran buruh. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan semula sempadan antarabangsa akan membawa lebih banyak impak positif kepada aktiviti berkaitan pelancongan serta pasaran buruh yang boleh mengatasi isu kekurangan buruh dalam industri tertentu, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia terus berada di landasan pemulihan meskipun dalam keadaan tidak menentu seperti digambarkan melalui Indeks Pelopor (IP), yang secara konsisten melebihi 100.0 mata dengan mencatatkan 110.1 mata pada Januari 2022.

“Walaupun Malaysia kekal optimistik ke arah pemulihan ekonomi, kita harus berwaspada dengan ketidaktentuan global yang berterusan susulan ketidakstabilan geopolitik dan sekatan pergerakan penuh yang berlaku di China,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan sempena penerbitan Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 3/2022, semalam.

Bercakap mengenai situasi sosioekonomi semasa, beliau berkata, di sebalik pandemik yang masih berlanjutan, kebanyakan negara telah melonggarkan langkah pembendungan penularan Covid-19.

Bagi Malaysia, jelasnya, seluruh negeri telah memasuki fasa akhir Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Januari 2022.

Ujarnya, Berdasarkan perkembangan terkini, aktiviti sosioekonomi terus rancak seperti ditunjukkan dalam indikator ekonomi jangka pendek pada Januari 2022.

“Namun begitu, cabaran global seperti bencana berkaitan iklim, krisis geopolitik yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan dijangka akan memberi kesan kepada inflasi Malaysia.

“Dari sudut sektor luaran Malaysia, jumlah perdagangan negara terus berdaya tahan dengan mencatatkan peningkatan dua angka sebanyak 24.8 peratus kepada RM203 bilion daripada RM162.6 bilion pada Januari 2021.

“Eksport melonjak 23.5 peratus kepada RM110.7 bilion, lebih tinggi daripada nilai import yang meningkat 26.4 peratus dengan merekodkan RM92.3 bilion yang seterusnya membawa kepada lebihan dagangan berjumlah RM18.4 bilion, naik 10.9 peratus daripada tahun sebelumnya,” katanya.

Mengulas mengenai senario pasaran pekerjaan, beliau berkata, situasi tenaga buruh bertambah baik pada Januari 2022 dengan bilangan tenaga kerja meningkat sebanyak 346,600 orang atau 2.2 peratus kepada 16.37 juta orang, berbanding Januari tahun lalu di mana pasaran buruh berada dalam keadaan mencabar.

“Bilangan penganggur juga terus berkurang sebanyak 1.1 peratus kepada 680,400 orang, mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 4.2 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya