Pembukaan sempadan negara rangsang ekonomi negara - Utusan Malaysia

Pembukaan sempadan negara rangsang ekonomi negara

MALAYSIA dijangka menerima kedatangan dua juta pelancong asing yang menjana pendapatan RM8.6 biion berikutan pembukaan sempadan negara mulai 1 April ini. – UTUSAN/ FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembukaan sempadan antarabangsa negara sejak semalam seperti ‘dos penggalak’ yang akan merancakkan lagi ekonomi negara tahun ini, terutamanya menerusi sektor pelancongan negara.

Bagaimanapun, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pemulihan sektor pelancongan yang merupakan komponen penting kepada ekonomi negara sememangnya akan mengambil masa untuk kembali kepada prestasi sebelum pandemik melanda.

Ujarnya, kehadiran pelancong dari Singapura yang merupakan kedua tertinggi bilangannya di antara rakyat negara-negara lain yang melancong ke Malaysia bakal memberikan pemulihan paling awal kepada industri pelancongan tempatan.

“Pembukaan jalan darat di antara Singapura dan Malaysia memang sudah lama dinantikan, kerana sebelum ini juga pelancong dari Singapura gemar melancong di Malaysia yang mempunyai pelbagai lokasi menarik untuk bercuti dan membeli-belah.

“Justeru, dijangkakan ramai rakyat Singapura akan mengambil peluang ini untuk melancong ke tempat-tempat menarik di Malaysia setelah sekian lama melalui sekatan perjalanan dalam tempoh pandemik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Semalam, Malaysia telah kembali dibuka sepenuhnya kepada pelawat antarabangsa selepas dua tahun pelaksanaan langkah kawalan ketat di sempadan bertujuan mengekang penularan pandemik Covid-19.

Tepat pukul 12 tengah malam semalam, Tambak Johor merekodkan kemasukan kenderaan persendirian luar biasa sehingga mengalami kesesakan yang kali pertama dicatatkan, sejak penutupan sempadan pada 18 Mac 2020 lalu.

Aimi Zulhazmi memaklumkan, pembukaan tambak kepada rakyat republik itu juga bakal merancakkan kembali sektor peruncitan dengan aktiviti membeli-belah di Johor Bahru terutamanya. 

“Dengan nilai mata wang dolar singapura yang terus mengukuh berbanding ringgit, ia akan menjadi insentif kepada rakyat Singapura untuk merentas Tambak Johor.

“Selain itu, dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang, tentu sekali rakyat negara itu yang mempunyai saudara mara di sini akan datang seterusnya mengambil peluang bercuti panjang di Malaysia,” ujarnya.

Menurut beliau, industri pelancongan telah menyumbangkan 15 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2018 dan diharap pembukaan semula sempadan ini bakal membantu sumbangan sektor tersebut dalam pertumbuhan ekonomi tahun ini.

“Tidak dinafikan pembukaan sempadan antarabangsa tetap mempunyai risiko yang menakutkan iaitu penularan varian-varian baharu Covid-19 melalui aktiviti merentas negara. 

“Namun, sebagai negara yang memilih untuk beralih ke fasa endemik, rakyat Malaysia harus bersedia dengan segala kemungkinan dan perlu bijak mengimbangkan antara risiko kesihatan dan kelangsungan ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya