PETALING JAYA: Peruncit perkakas rumah terbesar di Malaysia, MR. D.I.Y. Group (M) Berhad (MR D.I.Y.) menyumbang mengumumkan penyempurnaan sumbangan selama dua tahun bernilai RM408,288 kepada Zoo Negara di bawah inisiatif #DIY4ZooNegara.
Inisiatif tersebut merangkumi sumbangan untuk pengambilan tiga haiwan angkat iaitu Zirafah bernama Tilly dan Gerald, serta harimau Malaya bernama Jagoh.
Dana yang disalurkan sepanjang tahun 2021 hingga 2022 itu telah digunakan untuk memperbaiki dan menyenggara kemudahan zoo, termasuk menaik taraf bumbung dan lantai terowong untuk ke kandang harimau, serta membina gazebo untuk kegunaan pengunjung.
Peruncit tersebut juga menyumbangkan peralatan, kelengkapan, pakaian seragam dan pelitup muka edisi khas untuk 300 kakitangan zoo.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MR D.I.Y., Adrian Ong berkata, ramai yang mempunyai kenangan menarik semasa mengunjungi Zoo Negara ketika zaman kanak-kanak, kerana ia merupakan mercu tanda yang ikonik untuk beberapa generasi rakyat Malaysia.
“Kunjungan ke zoo membantu mempromosi serta memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian dan kepentingan ekosistem negara yang mampan.
“Inisiatif #DIY4ZooNegara telah membantu memastikan generasi masa kini dan akan datang supaya dapat terus menikmati pengalaman yang sama,” katanya dalam kenyataan.
Inisiatif #DIY4ZooNegara adalah satu daripada aktivitipenglibatan komuniti yang telah dimulakan oleh MR D.I.Y. bagi membantu pelbagai organisasi dan komuniti yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sejak Januari 2022, ia telah menyumbangkan kit ujian kendiri kepada komuniti yang memerlukan dan memulakan kempen #DIY4Sungai untuk memulihara dan mempersiapkan kawasan-kawasan tumpuan pelancong di sepanjang sungai dan jalan air untuk kembali menerima kunjungan pelancong.
Peruncit tersebut juga telah menganjurkan program #DIY4UM dan #DIY4UTAR dengan kerjasama Universiti Malaya dan Universiti Tuanku Abdul Rahman, bagi membantu lebih 15,000 pelajar membuat persiapan untuk kembali ke kampus selepas pandemik.
Pada Disember 2021, MR D.I.Y. telah disenaraikan dalam FTSE4Good Index 2021 yang diiktiraf di peringkat global. Ia membuktikan usaha berterusan peruncit perkakas rumah itu untuk terus menghasilkan impak yang positif kepada komuniti-komuniti di mana ia beroperasi. – UTUSAN