MOJ Cafe taruhan tiga beradik - Utusan Malaysia

MOJ Cafe taruhan tiga beradik

AUDI GHAZALI menunjukkan minuman dan pastri yang boleh didapati di MOJ Cafe, Wangsa Maju. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI kala banyak perniagaan yang dihurung masalah bertimpa sehingga terpaksa menutup operasi berikutan penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu, tiga beradik mengambil langkah berani membuka sebuah kafe di tengah-tengah situasi tidak menentu itu.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman yang besar dalam menguruskan sebuah perniagaan sendiri, namun Audi Ghazali serta dua adiknya, Aliah dan Adli nekad membuka kafe berasaskan kopi dan pastri, MOJ Cafe di Wangsa Maju, di sini.

Menurut Audi Ghazali, mereka bersepakat untuk membuka kafe tersebut setelah dua tahun masing-masing tidak bekerja dan memikirkan mereka perlu mengambil langkah ke hadapan dalam kehidupan mereka.

Ujarnya, walaupun perancangannya agak spontan, namun mereka berusaha menjadikan impian itu satu kenyataan.

“Pada awalnya kami terfikir, perniagaan apa yang boleh dilakukan kerana sebelum ini, saya dan adik bekerja makan gaji dan sepanjang tidak bekerja, kami hanya menjadi dropship untuk produk-produk dalam talian.

“Kami semua gemar mencuba kopi di pelbagai kafe dan dari situ, kami terfikir perniagaan ini boleh menjana keuntungan kerana ramai yang sibuk bekerja mahukan sesuatu yang mudah dan cepat, seperti kopi dan pastri,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Anak muda berusia 32 tahun yang dahulu bekerja sebagai konsultan di sebuah syarikat itu berkata, konsep MOJ Cafe lebih kepada ‘grab and go’ dan menawarkan pelbagai minuman berasaskan kopi seperti americano, latte, cappuchino dan matcha.

Jelasnya, untuk kelainan, mereka turut menawarkan minuman yang diilhamkan sendiri iaitu Matcha MOJ dan Americano Gula Apong.

Ditanya mengenai maksud MOJ, Audi menjelaskan ia adalah perkataan yang selalu diucapkan bersama rakan-rakan ketika di universiti dahulu yang bermaksud ‘Meh Okey Je,’ menandakan mereka bersetuju untuk ke sesebuah tempat.

“Saya rasakan MOJ sangat dekat dengan golongan muda dan kelihatan lebih santai. Jadi, MOJ boleh dikatakan satu destinasi pertemuan yang mudah untuk berkumpul bersama rakan-rakan sambil menikmati minuman dan pastri,” ujarnya.

Audi memaklumkan, keputusan besar dalam hidup mereka untuk membuka kafe sendiri berbanding bekerja makan gaji juga diambil kerana memikirkan tanggungjawab mereka untuk menjaga ibu, Zaikiah Awang yang mempunyai komplikasi kesihatan.

“Jika saya bekerja, masa untuk saya menjaga dan mempersiapkan ibu saya akan terhad demi tuntutan kerja. Oleh itu, kami nekad mengambil risiko ini asalkan kami dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ibu.

“Tambahan pula, ayah saya, Allahyarham Md. Ghazali Abdul Karim telah meninggal dunia dua tahun lalu dan ibu kami memerlukan perhatian lebih daripada anak-anaknya. 

“Perniagaan keluarga ini juga kami mulakan sebagai penghormatan kepada ayah kami yang sentiasa ingin melihat kami berjaya dan melangah ke hadapan dalam hidup,” katanya.

Bagi perancangan masa hadapan, Audi memaklumkan, mereka berazam untuk membuka lebih banyak cawangan MOJ Cafe di sekitar Lembah Klang.

“Kami juga mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah kafe yang turut menawarkan makanan ala barat atau fusion di sebuah premis yang lebih besar, supaya kami boleh melayani lebih ramai pengunjung dalam satu masa,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya