APABILA kita membicarakan tentang motosikal skuter, apa yang terbayang difikiran ialah motosikal yang santai, bergaya, serta praktikal. Tanpa syak wasangka, Karisma 125 ini menepati ciri-ciri tersebut.
Diperkenalkan oleh Modenas dan versi ini sebenarnya adalah versi pembaharuan daripada model yang asal dipasarkan oleh Modenas pada tahun 2011. Modenas yang diketahui ramai, telah bekerjasama dengan Kawasaki Malaysia untuk menghasilkan motosikal-motosikal moped ataupun lebih dikenali sebagai kapcai, namun tidak mempunyai model-model skuter yang boleh dipasarkan di dalam negara.
Oleh sebab itu, Modenas beralih pandangan ke Taiwan di mana dunia mengetahui pembuat skuter terbaik adalah di sana. Begitupun, model-model skuter lain yang terdapat di pasaran dalam negara ketika itu dilihat gagal dari segi pengendaliannya. Ketika inilah, Karisma diperkenalkan dan terus mendominasi pasaran.
PENAMPILAN
Karisma 2022 ini tampak lebih teguh, lebih sporty, moden dan terkini. Selain didatangkan dengan sistem pancitan bahan api (menggantikan sistem karburator pada model yang lalu), Karisma 125 juga mempunyai port pengecas telefon bimbit sebagai memenuhi keperluan masakini. Tempat penyimpan barangan dibawah tempat duduk bersaiz 14 liter isi padu, dilihat sebagai satu sifat skuter yang wajib.
Namun, meter masih menggunakan sistem analog pada penunjuk odometernya, tetapi disulami
dengan penunjuk aras banan api digital. Sepatutnya, panel meter Karisma 125 ini digital sepenuhnya dan penggunaan jarum analog ini ternyata satu langkah kebelakang untuk model ini. Warna yang dihidangkan untuk para peminat skuter tempatan adalah satu pilihan yang agak menarik iaitu pilihan warna merah, keemasan, dan biru. Ketiga-tiga skim warna ini mampu menaikkan kemasan skuter yang dikhaskan untuk urban lifestyle.
Konsep ini juga dapat dilihat di bahagian hadapan, yang mana lampu jenis LED turut dilengkapi dengan lampu nyalaan siang atau Daytime Running Lights (DRL). Lampu isyarat dan lampu belakang juga jenis LED untuk menguatkan lagi imej ini.
PENUNGGANGAN
Sekiranya dilihat daripada saiz dan kapasiti enjinnya, anda tidak salah sekiranya menganggap skuter ini hanya sesuai ditunggang dalam jarak yang dekat, seperti ke masjid, ke kedai runcit atau pusing-pusing taman perumahan anda.
Akan tetapi, saya telah mengujinya mendaki bukit yang sangat curam, serta menaikinya bersama pembonceng. Saya agak terperanjat apabila skuter ini mampu naik bukit
dengan mudah tanpa sebarang masalah. Namun cubaan mencari top speed pada skuter ini ternyata adalah sedikit kecewa kerana hanya mampu mencecah 110km/j pada permukaan jalan raya rata.
Penghasilan kuasa yang agak lembut dan tidak mengejutkan, membolehkan skuter ini dikendali dengan baik. Ini disebabkan oleh enjin 4 lejang bersesaran 124.8cc, silinder tunggal yang menepati piawaian Energy Efficient Vehicles (EEV) serta EURO 4 ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 7.0 kW @ 7500 rpm dan tork 10.0 Nm @ 6000 rpm.
Tambahan pula dengan sistem suntikan bahan api serta tangki minyak 5.1 liter, skuter ini seperti
memberikan keseimbangan terhadap prestasi dan penjimatan minyak. Jjika mengambil kira trend masa kini, kapasiti enjin skuter Karisma ini sepatutnya didatangkan dengan 150cc. Mungkin dengan kuasa sebegitu, sedikit kebolehan dapat dicapai pada kelajuan maksimum yang lebih sedikit daripada segi prestasi.
Brek cakera diroda hadapan mampu memberikan kuasa pemberhentian yang baik dan brek jenis gelendong (mangkuk) di roda belakang juga turut tidak mengecewakan. Roda bersaiz 14 inci mungkin adalah saiz yang agak standard untuk skuter berkapasiti sebegini, namun saya menyarankan agar pemilik baharu skuter ini berusaha untuk menukarnya dengan jenama yang lebih baik, lebih mencengkam.
Harga jualan yang disyorkan untuk Modenas Karisma 125S terbaharu ini adalah RM5,397 (tanpa insurans dan cukai jalan). Motosikal ini akan berada di wakil pengedar Modenas yang sah mulai Februari 2022.
KESIMPULAN
Pasaran skuter di Malaysia agak berada dalam situasi yang agak mendatar, tidak terlalu suram dan tidak pula terlalu popular. Namun, skuter selalu dilihat sebagai pilihan kedua para pengguna motosikal tempatan kerana semata-mata kekurangan dari segi penghantaran kuasa berbanding dengan motosikal-motosikal kapcai yang ada di pasaran.
Bagaimanapun, tidak semua penunggang yang ‘cintakan kelajuan’. Ada yang lebih mementingkan keselesaan, pengendalian yang sederhana, serta kebolehan untuk menunggang dengan santai. Modenas Karisma 125 ini saya lihat dapat memberikan ini semua untuk anda yang berada dalam kategori ini. – UTUSAN