Diperkenalkan kepada rakyat Malaysia lebih empat tahun lalu, motosikal yang asalnya daripada pengeluar motosikal terbesar di India ini, diketahui umum telah memplagiat jentera KTM DUKE 390.
KTM dan Bajaj telah melakukan kerjasama untuk menghasilkan jentera Bajaj Dominar 400 dan mungkin kerana terlalu suka akan teknologi motosikal daripada Austria ini, Bajaj telah memutuskan untuk menjadi sebahagian daripada pemilik jenama KTM Global.
Saya berpeluang terlibat dalam satu siri penunggangan pantai barat bersama jentera V1 Bajaj Dominar ini. Menunggang dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan kemudiannya memulakan perjalanan daripada Johor Bahru sehinggalah ke Kangar, Perlis dan kembali ke Kuala Lumpur.
Memandangkan saya menghabiskan masa sebanyak 10 hari berterusan dan menjelajah ribuan kilometer bersama V1 Bajaj Dominar pada 2018, maka, saya sangat teruja untuk ‘merasai’ sendiri versi baharu Dominar 400 yang diperdagangkan oleh Modenas ini.
PENAMPILAN
Dari pandangan mata kasar, terdapat dua perbezaan ketara iaitu perendam bunyi ekzosnya kini didatangkan dengan double barrel yang agak tersembul daripada sisi kanannya. Keduanya, penyerap hentakan hadapan (fork) adalah jenis upside down, atau USD forks, berbanding dengan jenis teleskopik pada V1. Selebihnya, saya gagal melihat sebarang perubahan daripada versi asal.
Sekiranya perubahan muffler atau peredam bunyi ini dijadikan ukuran, sudah tentu ada sedikit pengubahsuaian atau penambahbaikan yang telah dibuati. Enjin Dominar 400 ini telah dipersiapkan dengan Dual Over Head Cams (DOHC), yang menjanjikan kebolehan enjin lebih baik daripada V1. Tambahan pula dengan USD Fork yang sedikit sebanyak meningkatkan rupa paras DOMINAR V2 ini, saya mengharapkan ada sesuatu yang ‘ajaib’ dapat saya rasakan ketika sesi uji pandunya.
PENUNGGANGAN
Saya harus menyatakan bahawa pengendalian jentera Bajaj V1 dahulu adalah sangat baik dan sangat stabil dalam pengambilan selekoh. Walau apa jua kelajuan dengan penggunaan, penyerap hentakan hadapan teleskopiknya berfungsi dengan sangat baik. Berbanding dengan penyerap hentakan hadapan V2 ini, sudah tentu ia memberikan imej yang lebih serius dan sporty, di samping kebolehan untuk lebih memantapkan pengendalian terutama dalam pengambilan selekoh.
Namun, prestasi pengendaliannya tidak jauh beza daripada V1, malah, saya rasakan ia hampir serupa. Meminjam teknologi suspensi daripada KTM, selain hanya menambahkan rupa sporty pada jentera, ia seolah-olah tidak menambah fungsi pada V2 ini.
Walau tidak dapat dilihat dari mata kasar, Bajaj Dominar 400 V2 ini dikatakan dua kilogram (kg) lebih berat iaitu 184 kg berbanding versi terdahulu pada 182 kg. Akan tetapi, sekiranya diambil ujian masa, V2 lebih dahulu mencapai kelajuan 100km/j daripada V1. Ini kembali kepada fakta penambahan sistem aci sesondol berkembar (DOHC) yang dilihat membantu pencapaian prestasinya. Kebolehan untuk proses aruhan udara keluar masuk dan penggembelingan bersama bahan api, menyebabkan prestasi jentera Dominar V2 ini meningkat kuasa 5PS daripada model asal.
Kuasa pemberhentian juga dipertingkatkan oleh DOMINAR V2 ini apabila dilihat ‘meminjam’ terus sistem brek daripada KTM DUKE generasi pertama, iaitu penggunaan caliper brek jenis BYBRE (BY BREMBO). Kaliper Bybre model V2 ini dipasang selari dengan jejari roda bagi membolehkan penghasilan kuasa berhenti dengan lebih efisien.
Sedikit sentuhan pada injap enjin dan suspensi hadapan Dominar V2 ini, sepatutnya memberikan kebolehan penunggangan yang lebih efektif dan agresif. Namun, saya benar-benar gagal merasakan sebarang perubahan besar yang terdapat pada V2 ini, selain ia lebih ‘haus’ pada penggunaan petrol daripada V1, yang saya yakin berpunca daripada kebolehan penghantaran kuasa enjin pada RPM yang rendah.
Bagi peminat motosikal tempatan, Bajaj Dominar V2 boleh dikatakan turut meminjam teknologi KTM DUKE 390 seperti varian V1. Enjin 373.3cc yang hampir serupa, dipadankan dengan chasis jenis twin spar aluminium, sejenis rekaan casis yang terbukti memberi kestabilan optimum dalam penunggangan (KTM DUKE menggunakan casis jenis tiub).
Walaupun meter tidak dibekalkan dengan meter LCD TFT berwarna seperti KTM, ia masih mempamerkan meter digital dan mengekalkan dua meter yang diletakkan di lokasi berbeza. Penunjuk info (meter kedua) terletak di atas tangki bahan api masih menunjukkan odometer (jarak yang telah diambil), penunjuk waktu dan kedudukan gear, sementara meter di pemegang juga seperti model yang lama iaitu penunjuk RPM, kelajuan dan tahap bahan api dalam tangki.
KESIMPULAN
Agak tidak mudah untuk mengubah kesempurnaan Bajaj Dominar 400 V1 yang ‘sempurna’ dari pelbagai segi, dan penggunaannya di alam penunggangan sebenar sangat menepati. Kehadiran Dominar 400 V2 pada awal 2020 ternyata pada waktu yang salah kerana kekecohan negara menangani wabak Covid-19 sekali gus menenggelamkan ‘sinar’ motosikal itu di tanah air.
Walau bagaimanapun, jika bukan kerana kesuraman industri, agak sukar untuk Dominar 400 V2 mendominasi pasaran tempatan disebabkan beberapa faktor terutama penambahan atau pengubahsuaian pada V2 sangat sedikit dan tidak banyak berbeza dari V1, sama ada dari segi fizikal atau prestasi enjin yang ketara.
Lesen penunggangan jenis B penuh diperlukan untuk anda menunggang motosikal ini secara sah di jalan raya tempatan dan ini agak membendung pembelian. Selain itu, kebolehan tempat servis dan alat ganti oleh Modenas dilihat masih lagi agak kurang berbanding keberadaan jenama-jenama lain.
Sepatutnya, Bajaj membawa masuk Dominar versi lasak untuk memberikan kelebihan terhadap potensi jualannya. Tambahan pula dengan keadaan sekarang, di mana masyarakat dengan mudah mendapat maklumat tentang varia yang terdapat di luar negara. Bajaj sendiri telah menunjukkan beberapa prototaip Dominar 400 versi ini yang saya yakin mampu menarik minat para pencinta motosikal tempatan. Namun, seperti saya sendiri, agak kecewa apabila varian yang dibawa masuk hanya Versi 2 daripada Dominar 400.
Sebagai penutup, adalah tidak wajar sekiranya saya katakan Dominar 400 V2 adalah sebuah motosikal yang bosan ditunggang, tidak menarik atau berprestasi buruk. Sebaliknya, saya dapati ia adalah sebuah motosikal yang ‘sempurna’ ditunggang dalam apa jua permukaan jalan.
Pengendalian yang sangat ‘sempurna’ dengan casis, sistem penyerap hentakan hadapan yang baharu, tayar MRF daripada India yang terbukti mencengkam, serta ergonomik yang selesa ditunggang sama ada berdua atau secara solo pada sebarang jarak penunggangan.
Namun apakan daya, model V1 terlalu baik dan sempurna sehinggakan kemunculan V2 ini tidak dapat melawan atau mengatasi spesifikasi yang ada pada V1. Tiada pengubahsuaian drastik pada rupa bentuk fizikalnya juga turut menyumbang kepada kegagalan varian ini. – UTUSAN