PETALING JAYA: Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan kejuruteraan substesen MN Holdings Berhad (MNHB) membida tender untuk beberapa projek substesen solar (LSS) berskala besar sebagai penyelaras pengurusan projek dan kejuruteraan kerja-kerja reka bentuk.
Potensi kemenangan yang timbul daripada tender tersebut akan menambah kepada kontrak baharu syarikat sebanyak RM172.2 juta pada 9 Mac 2022, dengan 21.4 peratus atau RM36.8 juta terdiri daripada kerja daripada segmen kejuruteraan substesen manakala baki 78.6 peratus atau RM135.4 juta adalah kerja daripada segmen kejuruteraan utiliti bawah tanah.
Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay berkata, syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mendapatkan tender kerana ia mempunyai keupayaan yang terbukti dalam melaksanakan projek LSS.
“Sehingga kini, syarikat telah mendapat tiga projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) di bawah LSS2 dalam kapasiti sebagai sub- kontraktor.
“Kami terlibat dalam projek EPCC sebagai kontraktor utama yang telah memperoleh projek loji kuasa fotovoltaik solar di bawah program LSS yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia pada 2016.
“Sebagai pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan substesen, kami mampu memikul peranan pengurusan dan penyeliaan keseluruhan projek, sumber bahan binaan yang diperlukan, peralatan substesen dan sistem untuk pemasangan dan pentauliahan,” katanya dalam kenyataan.
Ujar Siong Hai, MNHB mempunyai 15 tahun sejarah operasi dalam industri pembinaan utiliti kuasa di Malaysia.
Menurut beliau, syarikat itu memberi perkhidmatan terutamanya kepada sektor utiliti kuasa di Malaysia, daripada penjanaan kuasa kepada penghantaran dan pengedaran.
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, katanya, syarikat berhasrat untuk mengambil peranan kontraktor utama yang meningkat yang dilantik oleh pemilik projek LSS.
“Strategi itu akan membolehkan kami membina reputasi dan rekod prestasi untuk meletakkan diri kami bagi mendapatkan lebih banyak kontrak pada masa hadapan dan mengukuhkan perkhidmatan kejuruteraan substesen dan segmen perniagaan penyelesaian kami.
“Selain itu, peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan Malaysia, jelas memberi impak positif kepada ekonomi negara.
“Ini adalah petanda baik bagi industri utiliti infrastruktur kuasa di Malaysia kerana pelaburan dalam infrastruktur utiliti didorong oleh pertumbuhan ekonomi jangka panjang, pertumbuhan penduduk dan pembandaran, peningkatan permintaan untuk elektrik, pelaburan asing dan domestik serta sasaran penjanaan tenaga boleh diperbaharui Malaysia,” katanya.
Bagi penyenaraian itu, syarikat memperoleh RM17.2 juta daripada Terbitan Awamnya sebanyak 81.8 juta saham baharu pada harga terbitan RM0.21 sesaham.
Penyenaraian itu juga termasuk tawaran penjualan 40.9 juta saham sedia ada kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian.
Daripada jumlah hasil IPO, RM5.84 juta (34.0 peratus) akan digunakan untuk membeli pelbagai mesin dan peralatan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menyokong pengembangan perniagaannya bagi segmen perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan bawah tanah dan segmen perkhidmatan dan penyelesaian substesen.
Kumpulan itu akan menggunakan RM4.33 juta (25.2 peratus) daripada hasil untuk modal kerja am untuk menyokong keperluan modal kerja bagi projek baharu dan sedia ada.
Baki hasil akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank berjumlah RM4.00 juta (23.3 peratus) dan RM3.00 juta (17.5 peratus) untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian. – UTUSAN