PETALING JAYA: Matrix Concepts Holdings Berhad (MCHB) telah menyumbang RM200,000 sebagai dana permulaan untuk pembinaan surau di Ara Sendayan, Bandar Sri Sendayan pada bulan Ramadan.
Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan MCHB, Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, objektif pihaknya adalah untuk membantu masyarakat Islam di Ara Sendayan untuk mempunyai tempat ibadat yang selesa dan kondusif di mana mereka dapat menunaikan solat dan kewajipan serta menggunakan ia sebagai pusat komuniti.
“Sumbangan MCHB terhadap tempat beribadah adalah seiring dengan objektif negara kita ke arah masyarakat yang harmoni dan bertamadun seperti yang termaktub dalam rukun negara.
“Hormat dan persefahaman antara satu sama lain dengan perbezaan unik dapat direalisasikan dalam masyarakat yang bertamadun khususnya di Malaysia yang berbilang kaum.
“Kami sentiasa menekankan pembangunan komuniti di perbandaran kami, meletakkan kepentingan dalam pertumbuhan sosial dan ekonomi penduduknya serta kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Cek replika itu telah disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Surau Ara Sendayan, Taufek Sharom oleh Pengerusi MCHB, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin dan disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminudin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Dr Razali Ab. Malik. Turut hadir, Pengarah Urusan MCHB, Ho Kong Soon. – UTUSAN