Manfaat perniagaan dengan platform Twitter - Utusan Malaysia

Manfaat perniagaan dengan platform Twitter

KETUA PENYELIDIKAN APAC & EKSPORT GLOBAL TWITTER, MARTYN U’REN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Twitter adalah satu platform media sosial yang memiliki banyak pengguna dari seluruh dunia. Ia menghubungkan orang ramai, mempercepatkan penyampaian informasi dan mencetuskan kreativiti.

Kuasa tersendiri Twitter adalah sentiasa menjadi platform aktif dan dipercayai oleh para penonton. Ia turut boleh dimanfaatkan oleh jenama atau perniagaan untuk menarik minat dan perhatian pelanggan.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR bersama KETUA PENYELIDIKAN APAC & EKSPORT GLOBAL TWITTER, MARTYN U’REN mengenai tabiat pengguna serta bagaimana perniagaan atau jenama boleh memanfaatkan platform tersebut.

UTUSAN: Bila dan bagaimana perniagaan yang ada di Twitter harus mula merancang untuk Ramadan tahun ini?

MARTYN U’REN: Perbualan di bulan Ramadan kebiasaannya bermula sebulan lebih awal. Pada 2021, perbualan pada bulan Ramadan melonjak dua kali ganda berbanding purata perbualan harian.

Lonjakan pertama dalam perbualan bulan Ramadan bermula pada hari pertama puasa dengan peningkatan sebanyak 92 peratus dan lonjakan kedua berlaku pada akhir Ramadan dengan peningkatan 140 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

Dari segi bila dan bagaimana jenama boleh mula merancang pula, adalah dengan mengikuti strategi pelancaran Twitter, iaitu mendengarkan perbualan, mengacah menggunakan kempen organik atau berbayar, siarkan kempen melalui perkongsian berbayar, dan kukuhkan lagi mesej dengan bahan organik serta kempen berbayar.

Oleh itu, kami mengesyorkan jenama bermula lebih awal. Ambil tahu bahawa terdapat lima fasa perbualan berdasarkan data perbualan ketika bulan Ramadan ini, Pra-Ramadan, Permulaan Ramadan, Lailatul Qadar, Hari Raya, dan Pasca Ramadan.

UTUSAN: Adakah orang ramai akan berbelanja lebih banyak pada bulan Ramadan atau Raya yang akan datang pada tahun ini, dan mengapa? 

MARTYN: Sebanyak sembilan daripada 10 pengguna di Twitter merancang untuk membuat pembelian semasa Ramadan secara dalam talian dengan 45 peratus menjangkakan lebih banyak membeli-belah dalam talian.

Rakyat Malaysia menggunakan Twitter untuk mencari inspirasi dan idea membeli-belah ketika bulan Ramadan. Hal ini dapat memberi peluang kepada jenama untuk menyediakan lebih banyak kandungan beli-belah seperti tawaran produk, cadangan pembelian dan acara membeli-belah.

UTUSAN: Apakah info menarik tentang perkara yang rakyat Malaysia bakal lakukan pada Ramadan tahun ini?

MARTYN: Rakyat Malaysia telah menyesuaikan diri dengan lebih banyak tabiat baharu sejak awal pandemik dan aktiviti dalam talian. Pada bulan Ramadan, melayari media sosial dijangka menjadi aktiviti paling popular yang rakyat Malaysia akan lakukan untuk menghabiskan masa mereka (66 peratus) .

Kebarangkalian aktiviti dalam talian yang lain rakyat Malaysia bakal lakukan juga adalah penstriman filem dan TV (51 peratus), membeli-belah dalam talian (45 peratus), menonton TV (42 peratus), panggilan video (31 perastus) dan memesan makanan (24 peratus).

Sepanjang bulan Ramadan, rakyat Malaysia juga mencari cara mendapatkan inspirasi sesama sendiri untuk menyumbang kepada masyarakat (60 peratus) dan kekal berhubung dengan komuniti yang turut merayakan Ramadan serta Hari Raya (41 peratus).

Apa yang lebih menarik, kebanyakan tabiat baharu rakyat Malaysia berkemungkinan kekal selepas pandemik berakhir. Dengan pelbagai peringkat umur, rakyat Malaysia akan melakukan aktiviti menerusi dalam talian, seperti membeli-belah, membayar zakat, memesan makanan, penstriman kandungan, bersosial dengan orang tersayang dan rakan-rakan mereka, bekerja dari kediaman dan menghantar hadiah.

UTUSAN: Bagaimana jenama yang ada di Twitter perlu mengambil peluang untuk memanfaatkan perbualan dengan orang ramai pada bulan Ramadan tahun ini?

MARTYN: Perbualan di Twitter boleh mendorong perniagaan dan jenama melayari Twitter untuk melancarkan kempen mereka serta berhubung dengan pengikut mereka. Terdapat peningkatan sebanyak tiga peratus dalam jualan apabila perbualan tentang jenama meningkat sebanyak 10 peratus.

Jenama juga boleh menggunakan sebaik-baiknya lima fasa Ramadan untuk memanfaatkan perbualan, melancarkan kempen dan berhubung dengan pengikut mereka.

Pada fasa pertama, iaitu dua minggu sebelum bermulanya Ramadan, rakyat Malaysia di Twitter akan mula mempersiapkan diri untuk menyambut bulan puasa.

Jenama boleh memanfaatkan perbualan melalui pelbagai ciri seperti kad perbualan dan undian. Apabila kita memasuki fasa kedua peringkat ini atau permulaan bulan Ramadan, jenama boleh memanfaatkan pelbagai penglibatan demi memastikan orang ramai kekal aktif dalam topik perbualan.

Dengan memasuki 10 hari terakhir Ramadan atau fasa ketiga, mood orang ramai mulai berganjak ke suasana membuat persiapan menyambut hari perayaan. Jenama boleh memanfaatkan perbualan dengan acara kempen siaran langsung, melakukan Twitter SPACES, promosi video, website cards, dan sebagainya.

Pada fasa keempat, suasana perayaan telah meningkat apabila orang ramai mengunjungi sanak saudara untuk menyambut Hari Raya dan garis masa dipenuhi dengan ucapan Hari Raya. Jenama boleh memanfaatkan perbualan ini dengan mengambilalih garis masa dengan video promosi, karusel dan website cards.

Dalam fasa kelima, perhimpunan sosial masih diteruskan walaupun musim perayaan telah berlalu. Oleh itu,jenama masih boleh memanfaatkan perbualan ini untuk meningkatkan lagi penglibatan mereka dengan pengikut.

UTUSAN: Apakah sektor, industri atau produk yang paling diminati rakyat Malaysia untuk membeli-belah semasa Ramadan dan Raya?

MARTYN: Tinjauan penyelidikan Twitter mendapati bahawa 80 peratus rakyat Malaysia di Twitter  berminat untuk membeli makanan dan minuman, diikuti oleh pakaian atau aksesori (77 peratus), alat solek/penjagaan kulit/minyak wangi (43 peratus), hadiah (33 peratus) dan alat teknologi (27 peratus).

Promosi dan diskaun Ramadan kandungan paling popular yang diminati oleh rakyat Malaysia semasa Ramadan (54 peratus), diikuti dengan ulasan dan cadangan produk (25 peratus) dan beli-belah secara langsung (19 peratus).

Rakyat Malaysia di Twitter sangat menerima kandungan membeli-belah Ramadan di Twitter, yang menyediakan lebih banyak peluang untuk jenama melancarkan kempen mereka dan berhubung dengan audiens sasaran mereka.

Dengan tabiat baharu yang diamalkan sewaktu pandemik ini, rakyat Malaysia merancang untuk membeli-belah pada bulan Ramadan ini secara dalam talian (45 peratus) dan tiga daripada lima berpendapat bahawa mereka akan terus melakukannya selepas pandemik berakhir .

UTUSAN: Jenama apa yang popular di Twitter? Apakah yang rakyat Malaysia boleh jangkakan daripada jenama-jenama ini?

MARTYN: Semasa bulan Ramadan, rakyat Malaysia melayari Twitter untuk berbual tentang membeli-belah dan juga mencari inspirasi dan idea untuk pembelian mereka.

Tinjauan kami mendapati bahawa rakyat Malaysia ingin melihat lebih banyak kandungan membeli-belah di Twitter, 54 peratus daripada mereka menginginkan promosi dan diskaun pada bulan Ramadan, 25 peratus berkata mereka ingin melihat ulasan dan cadangan produk dan 19 peratus pula ingin ke acara beli-belah secara langsung.

UTUSAN: Apakah jenis kandungan yang digemari rakyat Malaysia semasa Ramadan? Pada pendapat anda, bagaimana kandungan ini dapat dikaitkan dengan mereka?

MARTYN: Pada semua peringkat umur, rakyat Malaysia di Twitter umumnya minat dengan kandungan masakan (67 peratus) di Twitter semasa bulan Ramadan, diikuti dengan pelbagai kandungan seperti keagamaan (65 peratus), komedi (55 peratus), kesihatan dan kesejahteraan (51 peratus), serta hiburan dan budaya pop (45 peratus).          

Apabila berkaitan dengan peringkat umur yang tertentu (18-29 tahun vs 30 tahun ke atas), generasi muda lebih berminat dengan kandungan seperti memasak, membeli-belah dan hiburan atau budaya pop.

Sementara itu, generasi yang lebih berusia lebih minat kepada topik seperti kesihatan atau kesejahteraan, politik dan hal semasa, serta kandungan sukan. Menariknya, kedua-dua kumpulan umur menggemari kandungan keagamaan semasa Ramadan.

Seperti yang dijangkakan, kandungan keagamaan, kesejahteraan dan kesihatan merupakan kandungan paling popular yang selalu diharapkan oleh rakyat Malaysia semasa bulan Ramadan. Manakala, Gen-Z pula lebih suka kandungan tentang makanan dan memasak, hiburan serta membeli-belah.

Kandungan hiburan atau budaya pop dan komedi juga menunjukkan peningkatan besar berbanding tahun sebelumnya, dan ada sebilangan rakyat Malaysia yang tidak ingin melihat berita tentang politik dan hal ehwal semasa semasa bulan ini.

Secara keseluruhan, rakyat Malaysia mencari kandungan ringan seperti komedi, hiburan, budaya pop dan membeli-belah. Kandungan yang menarik dan ringan ini akan membantu mereka untuk penyediaan semasa bulan Ramadan dan Hari Raya akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya