PETALING JAYA: Seramai 111 orang pelajar telah menerima sumbangan pek MYAirportCARE yang berupa barangan kelengkapan untuk kembali ke sekolah dengan peruntukan berjumlah keseluruhan sebanyak RM27,000 bagi agihan di Lawas, Sarawak.
Penyampaian pek tersebut yang diketuai oleh Pengurus Lapangan Terbang Miri (MYY), Mohd. Jauhari Abdullah yang juga bertanggungjawab menjaga operasi Padang Terbang atau STOLport Lawas (LWY), telah disempurnakan pada 1 April lalu di Dewan Sekolah, SK Kampung Seberang Kuala Lawas.
Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, dengan peralihan negara ke fasa endemik, pelajar-pelajar ini dapat kembali ke sekolah secara fizikal setelah mengharungi cabaran pembelajaran dari rumah hampir dua tahun.
“Sumbangan ini sedikit sebanyak memberi kecerian dan semangat untuk kembali ke sekolah.
“Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, Malaysia Airports selaku pengendali lapangan terbang utama negara amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan komuniti sekeliling,” katanya dalam kenyataan.
Program yang dikenali sebagai MYAirportsCares menghulurkan pelbagai bentuk sumbangan kepada pelbagai pihak tidak terhad kepada sumbangan keperluan sekolah sahaja.
Sejak diperkenalkan pada 2018, ini merupakan kali kelima program dianjurkan dan pengagihan pek ceria kembali ke sekolah yang telah berjaya memberi manfaat hampir 3,610 pelajar secara keseluruhan. – UTUSAN