PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah pada tahun ini bagi pembayar zakat di kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, ketiga-tiga kadar itu telah dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan.
Menurutnya, kadar wajib zakat fitrah tahun ini ialah sebanyak RM7. Ia ditentukan berdasarkan harga beras yang majoriti digunakan oleh rakyat Malaysia.
“Hal ini bersesuaian sebagaimana harga beras super tempatan gred lima peratus hancur yang dijadikan rujukan beras yang banyak digunakan.
“Selain itu, dua lagi kadar zakat fitrah adalah RM14 dan RM21 yang ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.
“Bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan,” katanya dalam kenyataan.
Selari dengan norma baharu, orang ramai boleh membuat bayaran secara dalam talian kerana PPZ-MAIWP telah menyediakan sebanyak 14 platform pembayaran zakat fitrah antaranya Gopay, Umobile, Jompay, Portal PPZ, QR Code, Shopee, Myeg, ThenNoor atau layari di fitrah.zakat.com.my.
Pada tahun ini, MAIWP turut melantik seramai 811 orang amil untuk menjalankan tugas kutipan zakat fitrah.
Kaunter bayaran zakat fitrah kebiasaannya dibuka di masjid-masjid, pasaraya dan beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan orang ramai.
Setiap amil juga akan diberikan QR Code yang boleh diimbas untuk transaksi tanpa tunai. – UTUSAN