PETALING JAYA: HSS Integrated Sdn. Bhd. (HSSI), syarikat bersekutu HSS Engineering Berhad (HEB) menerima Surat Lantikan daripada Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) bagi perkhidmatan perundingan semakan syarikat (peer-review) bernilai RM11.28 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, HEB berkata kontrak tersebut untuk kerja perundingan Dokumentasi Tender untuk Kontraktor Utama Awam (CMC) dan Dokumentasi Tender untuk Kontraktor Line Wide Systems (STC) bagi Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3).
Jelasnya, tempoh kontrak itu bermula 15 April ini dengan anggaran tempoh kontrak selama 11 bulan.
“Peranan HSSI adalah untuk menjalankan semakan bebas dan memberikan pengesahan bahawa Dokumentasi Tender tersebut adalah mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh MRT Corp.
“Anak syarikat milik penuh HEB, HSSI dan HSSE akan bekerjasama secara eksklusif untuk melaksanakan dan menyelesaikan perkhidmatan,” menurut makluman tersebut.
HEB turut memaklumkan, kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.
Perkhidmatan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham HEB.
“Faktor risiko yang mempengaruhi perkhidmatan termasuk, tetapi tidak terhad kepada risiko pelaksanaan, seperti pergantungan pada kemajuan dan penyiapan Dokumentasi Tender memandangkan peranan HSSI adalah untuk menyemak dan mengesahkan perkara yang sama seperti yang diterangkan.
“Namun, kumpulan telah mewujudkan rekod prestasi dan kepakarannya dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut. Oleh itu, Lembaga Pengarah percaya bahawa kumpulan mampu mengurangkan sebarang faktor risiko,” ujarnya.
MRT3 adalah sebuah lingkaran sepanjang 51 kilometer (km) dengan 39 kilometer (km) terletak di Kuala Lumpur dan 12km di Selangor serta merentasi rangkaian rel sedia ada.
Mesyuarat jemaah menteri pada 4 Mac lalu meluluskan pelaksanaan projek MRT3 yang bertujuan melengkapkan infrastruktur pengangkutan awam sedia ada di Lembah Klang, dengan menyediakan perkhidmatan bersepadu, mampu bayar dan lancar untuk Keluarga Malaysia. – UTUSAN