BEIJING: Harga minyak lebih rendah dalam perdagangan awal Asia pada Khamis kerana kebimbangan mengenai peningkatan kes Covid-19 di China, pengimport minyak terbesar dunia, yang menjejaskan pasaran hadapan.
Ibu kota China, Beijing, melaporkan sebanyak 48 kes baharu Covid-19 tanpa gejala pada Rabu, selepas merekodkan 31 kes bergejala sehari sebelumnya dan tiga kes tanpa gejala ketika ia memulakan program ujian besar-besaran yang bertujuan membendung wabak baharu.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 37 sen atau 0.4 peratus kepada AS$104.95 (RM104.95) setong manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate Amerika Syarikat (AS) turun 27 sen atau 0.3 peratus kepada AS$101.75 (RM443.78) setong.
Pihak berkuasa di Beijing terus membanteras wabak Covid-19 dan cuba mengelak sekatan perjalanan di seluruh bandar yang telah menyelubungi Shanghai selama sebulan.
Bandar Hangzhou China yang mempunyai 12.2 juta penduduk, rumah kepada syarikat gergasi e-dagang, Alibaba, akan menjalankan ujian Covid-19 secara besar-besaran mulai Khamis, lapor media kerajaan itu pada Rabu.
Awal minggu ini, harga minyak menjunam lebih daripada tiga peratus berikutan kebimbangan terhadap sekatan pergerakan di China bagi membendung gelombang terbaharu Covid-19 negara itu.
Pegawai di hab kewangan Shanghai turut melaporkan 51 kematian pada Selasa, jumlah harian tertinggi di sebalik langkah pembendungan ketat selama beberapa minggu, manakala Beijing memberi amaran situasi ‘suram’ ketika jangkitan meningkat.
Lapor Reuters, menambah sokongan kepada pasaran adalah kebimbangan mengenai bekalan tenaga di seluruh dunia yang ketat berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan sekatan seterusnya dikenakan ke atas Moscow oleh AS dan sekutunya.
“Syarikat gergasi tenaga Rusia, Gazprom berkata, pihaknya telah menghentikan bekalan gas ke Bulgaria dan Poland.
“Shell berkata ia tidak lagi menerima minyak bertapis yang diadun dengan produk Rusia, menurut dokumen perdagangan, manakala ExxonMobil berkata ia telah mengisytiharkan ‘force majeure’ pada operasi Sakhalin-1nya di bahagian timur Rusia,” katanya. – AGENSI