Jumlah aset Kumpulan Bank Rakyat meningkat kepada RM115.06 bilion.

Jumlah aset Bank Rakyat RM115.06 bilion

NOH Omar (tengah) dan pengurusan tertinggi Bank Rakyat pada majlis pengumuman pembayaran dividen 2021 bank itu di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah aset Kumpulan Bank Rakyat meningkat sebanyak 3.0 peratus atau RM3.31 bilion kepada RM115.06 bilion berbanding RM111.75 bilion sebelumnya.

Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd. Rani Lebai Jaafar berkata, peningkatan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan baki pembiayaan sebanyak 1.6 peratus dan pertumbuhan kukuh aset perbendaharaan sebanyak 7.0 peratus selari dengan strategi Kumpulan sepanjang tahun.

Beliau berkata, Pulangan atas Aset (ROA) Kumpulan juga meningkat kepada 1.40 peratus daripada 1.30 peratus, setara dengan aliran industri.

Katanya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.63 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM1.86 bilion bagi tempoh berkenaan.

“Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi itu dicapai melalui kekukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras, walaupun ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19.

“Sementara itu, keuntungan bersih yang lebih tinggi disumbangkan oleh liabiliti cukai tertunda yang lebih rendah pada tahun semasa,” katanya pada majlis pengumuman pembayaran dividen Bank Rakyat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 di sini.

Bagi tempoh berkenaan, Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus dengan jumlah anggaran sebanyak RM429.5 juta kepada 827,066 ahlinya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omr ketika mengumumkan agihan itu berkata, pembayaran dilakukan bermula 25 April 2022 (semalam).

Menurut Noh, Bank Rakyat yang mengekalkan agihan dividen dua digit sejak 23 tahun lalu, turut meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2 peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM32.30 juta disumbangkan kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1 peratus lagi berjumlah RM16.15 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi.

“Jumlah sumbangan bagi 2021 adalah sebanyak RM48.45 juta,” katanya.

Dalam pada itu, Abd. Rani berkata, prestasi kewangan 2021 itu turut didorong oleh aktiviti pembiayaan dan pelaburan Kumpulan serta kos pendanaan yang lebih rendah kesan daripada Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang rendah.

Di samping itu, peruntukan penjejasan yang lebih rendah pada tahun semasa, sejajar dengan aliran industri juga telah meningkatkan prestasi Kumpulan, jelas beliau.

“Pencapaian ini turut didorong oleh pendapatan operasi bersih Kumpulan yang meningkat sebanyak 3.2 peratus kepada RM3.52 bilion berbanding RM3.41 bilion sebelum ini dibantu oleh kos dana yang lebih rendah hasil daripada pengurusan aset liabilti yang berkesan dan Akaun Semasa-i dan Akaun Simpanan-i (CASA) yang lebih tinggi kepada RM9.23 bilion daripada RM8.28 bilion sebelum ini

“Kumpulan turut berjaya mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang sihat bawah 40.0% iaitu lebih rendah daripada purata industri hasil daripada aktiviti pengurusan kos yang efektif.

“Secara keseluruhan, Bank Rakyat terus menjadi Bank koperasi paling menguntungkan, serta institusi kewangan Islam kedua terbesar di Malaysia dari segi keuntungan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya