PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, lebih banyak penerangan perlu diberikan oleh kerajaan berkaitan Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) terutamanya membabitkan kaedah pembiayaan syarikat berkenaan.
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ia berikutan kenyataan kerajaan yang ia tidak akan menjamin pembiayaan tersebut.
“Oleh itu, timbul persoalan adakah ALR mampu menarik minat pelabur untuk membeli sukuk terbitannya?
“Kerajaan menjelaskan bahawa sukuk tersebut bersifat perjanjian negatif kekal (permanent negative covenant) iaitu apabila ALR menerbitkan sukuk itu, syarikat itu tidak dibenarkan untuk membuat sebarang aktiviti perniagaan lain yang tidak dipersetujui sebelum ini.
“Itu sepatutnya akan mengurangkan risiko ke atas ALR dan memastikan pemegang sukuk mendapat pulangan daripada sukuk tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana sukuk yang mempunyai ‘permanent negative covenant’ itu mampu menarik pembeli walaupun tiada jaminan kerajaan.
“Kadar keuntungan sukuk yang dijanjikan kepada pembeli sukuk juga harus diperjelaskan,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, ALR perlu menjelaskan tempoh lanjutan konsesi secepat mungkin kepada rakyat demi ketelusan dan tadbir urus yang baik.
Ini kerana, ALR dikatakan akan menerima lanjutan tempoh konsesi sebagai balasan kepada janji dan komitmen untuk tidak menaikkan tol, namun tempoh konsesi tidak diperjelaskan.
Malah kata Baharom, ALR bersifat ‘kenderaan’ yang akan dibiayai oleh sukuk, bagaimanapun percaturan sukuk itu masih kabur.
Baru-baru ini, ALR, syarikat swasta yang mengemukakan tawaran untuk mengambil alih empat pengendali konsesi lebuh raya pada harga kira-kira RM5.5 bilion akan menjana dana yang diperlukan bagi memuktamadkan pembelian itu menerusi terbitan sukuk, menurut penganalisis.
ALR akan menerbitkan kirakira RM5.5 bilion sukuk yang tidak dijamin kerajaan untuk mengumpul dana bagi membeli semua ekuiti dan hutang Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART).
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini bahawa kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.
Penstrukturan itu menyaksikan kadar tol di empat lebuh raya berkenaan tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.
Malah, ia juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Januari lalu hingga tamat tempoh konsesi dianggarkan bernilai sekurang-urangnya RM4.3 bilion. – UTUSAN