Jamu Empire tembusi pasaran antarabangsa - Utusan Malaysia

Jamu Empire tembusi pasaran antarabangsa

JAMU T. Teja yang kini menembusi pasaran antarabangsa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA dahulu, sebut sahaja jamu pasti ada banyak yang memandang sinis dengan potensi produk berasaskan tumbuh-tumbuhan herba ini.

Namun, kini, dengan perkembangan zaman moden, jamu semakin mendapat tempat dalam kalangan ramai wanita termasuk golongan elit.

Ia dibantu perkembangan teknologi dalam masa yang sama membantu kepada proses modernisasi produk tumbuh-tumbuhan ini daripada hanya serbuk dengan rasa yang kurang menyelerakan kepada bentuk lebih baik. 

Bagaimanapun, hakikatnya proses modernisasi jamu bukan sesuatu yang mudah.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Jamu Empire Sdn. Bhd., Syukri Hasan, dia dan isteri, Hazira Azihan Abd. Wahab terpaksa berdepan pelbagai cabaran ketika pembabitan awal bergelumang dengan pembuatan jamu. 

Menurutnya, produk jamunya bukan sahaja tidak diterima ketika kemunculan awal, namun berdepan cabaran lain termasuk kos pembuatan yang  terlalu tinggi.

“Selain itu, segelintir rakan-rakan juga ada yang tidak yakin. Apabila sebut sahaja jamu, mereka terus menolak. Mungkin mereka berpandangan jamu tidak berapa efektif sebagaimana ubatan lain,” katanya.

Mengulas mengenai detik awal pembabitan dalam bidang ini, Hazira Azihan berkata, dia pada awalnya menggunakan jamu untuk menyembuhkan masalah kesihatan yang dihadapi selepas bersalin anak kedua di Australia.

“Ketika itu saya melanjutkan pelajaran di Australia dalam kursus seni bina dan bersalin dengan kaedah pembedahan sehingga menyebabkan proses berpantang amat sukar bagi saya.

“Saya kemudiannya terus membaca buku berkenaan herba-herba yang digunakan masyarakat seluruh dunia dan daripada situ saya cuba membuat jamu mencampurkan bahan satu persatu,” jelasnya.

Bagaimanapun, eksperimennya tidak berjaya dan dalam masa yang sama membuatkan kesihatan dirinya bertambah teruk.

“Ada herba yang digunakan tidak sesuai untuk saya sehingga menimbulkan kesan sampingan.

“Namun, apabila saya pulang ke tanah air, saya dapatkan pandangan dan nasihat pakar serta mencuba lagi dengan menjalankan uji kaji di makmal di Pusat Racun Negara,” jelasnya.

Biarpun proses ujian berkenaan mahal, Hazira Azihan berkata, dia tetap nekad bagi mencari jawapan dan keputusan yang memuaskan demi kesihatan dirinya pada ketika itu.

Selepas itu, produk yang dihasilkan olehnya diterima secara perlahan-lahan sehingga naik mendadak pada masa kini.

Apa yang membanggakan, produknya bukan sahaja dikenali masyarakat di negara ini, tetapi turut diketengahkan sehingga ke luar negara.

“Saya masih ingat sehingga kini bagaimana kakitangan Kementerian Pelancongan datang menjemput kami untuk mengetengahkan produk jamu yang mewakili Malaysia ke Perancis pada masa itu dalam satu festival antarabangsa.

“Ketika di negara tersebut, saya tidak menyangka berpeluang untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan produk lain. Malah saya sendiri tergamam ketika melihat banyak produk Malaysia diketengahkan,” ujarnya.

Pada masa kini, syarikatnya yang beribu pejabat di Bandar Perda Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu memiliki 14 produk meliputi pelbagai segmen daripada penjagaan kesihatan sehingga kepada produk berkaitan aromaterapi.

Hazira Azihan turut menyasarkan untuk melebarkan syarikatnya ke lebih banyak negara pada masa akan datang, sekali gus menambah produk hasil tempatan ke peringkat antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya