IPO MNHB terlebih langgan 118.48 kali - Utusan Malaysia

IPO MNHB terlebih langgan 118.48 kali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang MN Holdings Berhad (MNHB) mengumumkan tawaran awam permulaan (IPO) untuk bahagian awamnya telah terlebih langgan sebanyak 118.48 kali.

Sebanyak 17,205 permohonan mendapatkan 2.44 bilion saham baharu bernilai RM512.81 juta telah diterima daripada orang ramai untuk 20.44 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.

Bahagian saham awam Bumiputera telah terlebih langgan sebanyak 89.02 kali, selepas sejumlah 9,340 permohonan untuk 919.94 juta saham diterima.

Sementara itu, sebanyak 7,865 permohonan untuk baki bahagian awam berjumlah 1.52 bilion saham diterima, dengan kadar terlebih langganan sebanyak 147.94 kali.

Pengarah Urusan MNHB, Loy Siong Hay berkata, langganan berlebihan oleh orang awam dan sambutan menggalakkan daripada pelabur untuk bahagian penempatan persendirian adalah tanda keyakinan terhadap model perniagaan dan strategi pertumbuhan kumpulan.

“Melangkah ke hadapan, kami akan berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kontrak dan membina buku pesanan dengan memanfaatkan kekuatan daya saing kami.

“Dengan kelengkapan jentera, kami yakin mampu melaksanakan rangkaian komprehensif perkhidmatan untuk projek kejuruteraan utiliti bawah tanah dan menyediakan penyelesaian bersepadu dengan keupayaan pelaksanaan untuk projek kejuruteraan pencawang,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga 9 Mac, MNHB telah menyelesaikan 375 kontrak, dengan nilai terkumpul RM261.0 juta, dalam segmen perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah dan pencawang.

Di bawah pelaksanaan IPO, MNHB mengumpul RM17.2 juta daripada Terbitan Awamnya sebanyak 81.75 juta saham baharu pada RM0.21 sesaham. 

Terdapat juga tawaran untuk jualan di mana 40.88 juta saham sedia ada akan diperuntukkan untuk penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

Daripada jumlah hasil IPOnya, sebanyak RM5.84 juta akan digunakan untuk membeli pelbagai mesin dan peralatan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menyokong pengembangan perniagaannya bagi segmen perkhidmatan dan penyelesaian kejuruteraan bawah tanah dan pencawang.

Selain itu, RM4.33 juta akan diperuntukkan untuk modal kerja am untuk menyokong keperluan modal kerja bagi projek baharu dan sedia ada, dengan RM4 juta lagi untuk membayar balik pinjaman bank manakala baki RM3 juta akan digunakan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Penyenaraian MNHB di Pasaran ACE Bursa Sekuriti dijadualkan secara tentatif pada 28 April 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya