PETALING JAYA: Perusahaan mikro dijangka akan terus berkembang lebih 50 peratus susulan pelbagai kelonggaran yang diberikan kerajaan.
Ketua Pegawai Eksekutif My Events International (My Events), Hema Kandy berkata, jangkaan tersebut dapat dilihat berdasarkan trend perbelanjaan rakyat Malaysia dan penganjuran pelbagai aktiviti termasuk Festival Gaya Raya yang diadakan baru-baru ini.
Justeru katanya, My Events akan meneruskan kerjasama dengan dua lagi rakan perniagaan untuk menganjurkan jualan secara besar-besaran termasuk Festival Gaya Raya pada masa depan bagi memberi peluang kepada perusahaan mikro berkembang.
“Sebanyak 420 usahawan berkumpul untuk jualan mega di sini selama 66 jam dan ini adalah peluang untuk mereka menawarkan produk masing-masing dengan harga menarik memandangkan ia adalah minggu terakhir untuk persiapan hari raya.
“Meskipun ada juga jualan mega berlangsung di lokasi-lokasi utama di sekitar Lembah Klang, ia tidak menjejaskan jualan di sini kerana kami memiliki keunikan tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Festival Gaya Raya diadakan Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) selama tiga hari dengan mencatatkan lebih 500,000 pengunjung. – UTUSAN