PETALING JAYA: Pihak bank perlu mengadakan pengurusan risiko lebih maju untuk memantau skim-skim pinjaman di bawah Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) yang bukan diadakan secara tradisional atau mengikut prosedur operasi standard (SOP).
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpendapat, ia memerlukan pemantauan yang lebih terutamanya dari segi aliran tunai para pembeli khususnya yang tidak mempunyai slip gaji malah ada juga yang tidak mempunyai akaun bank.
“Teknologi digital kini boleh diguna pakai bagi membangunkan sistem pembayaran yang menggabungkan tunai di luar sistem perbankan. Selain e- wallet, pihak bank juga perlu bekerjasama dengan pelbagai operator gerbang pembayaran yang boleh memantau aliran tunai terutamanya peminjam.
“Buat masa ini, sokongan seperti jaminan bercagar yang diberikan oleh kerajaan amat membantu untuk memberi sokongan awal kepada pembangun pakej-pakej pinjaman perumahan diluar kotak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, ujarnya, peranan pemaju tidak terhenti ketika waktu penyerahan kunci rumah tetapi turut bekerjasama dengan pembiaya seperti bank untuk memastikan peminjam tidak mempunyai masalah untuk membayar.
Jelasnya, pihak insurans dan takaful juga memainkan peranan penting dalam soal ini, selain takaful wakaf wakalah boleh diperkenalkan untuk membentuk sistem sokongan kepada golongan rentan, B40, M40 dan juga pekerja gig yang mempunyai masalah pendapatan tidak tetap.
“Apa yang penting adalah semua pihak dalam industri ini bekerjasama dengan kerajaan dan bank-bank dalam mencipta segmen pasaran yang baharu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Aimi berkata, tiga skim di bawah i-Biaya itu menjawab pelbagai persoalan untuk memenuhi keperluan kediaman rakyat Malaysia terutamanya golongan muda, pekerja-pekerja industri gig selain golonagn B40 dan M40.
“Dengan penglibatan bank-bank secara besar-besaran melalui dorongan Kementerian Kewangan serta kelonggaran syarat-syarat oleh Bank Negara Malaysia (BNM), program itu akan memberikan hasil yang memberangsangkan.
“Ia juga akan membantu kecairan tunai dengan pengaliran tunai yang strategik ke arah pemulihan ekonomi negara, iaitu jualan transasksi rumah-rumah yang merupakan tiket item besar untuk kiraan pemulihan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Kelmarin, kerajaan melancarkan inisiatif i-Biaya bagi memastikan setiap Keluarga Malaysia daripada kumpulan B40 dan M40 mendapat akses kepada pembiayaan perumahan dengan lebih mudah.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
i-Biaya merupakan satu daripada komponen di bawah Home Ownership Programme (HOPE) yang memfokuskan kepada ekosistem perumahan secara menyeluruh, termasuk aspek penyediaan dan dasar-dasar lain berkenaan perumahan.
Ia menawarkan tiga skim pembiayaan iaitu Skim Jaminan Kredit Perumahan yang ditawarkan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) Berhad dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion, Skim Rumah Pertamaku (SRP) oleh Cagamas SRP Berhad (Cagamas) dan Skim PR1MA Rent to Own oleh Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA RTO). – UTUSAN