PETALING JAYA: Penabung muda Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank sekali lagi melangkah sebagai pahlawan eko di bawah inisiatif HLB Earth Hero, dengan menanam 2,500 pokok lagi di kawasan Hilir Kinabatangan di Borneo tahun ini.
Ini berikutan kejayaan dan hasil positif yang dibawa oleh inisiatif itu ke kawasan Hilir Kinabatangan sejak ia dilancarkan pada akhir 2020.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, inisiatif itu sejajar dengan nilai teras bank untuk menjalankan perniagaan secara mampan dan melibatkan masyarakat dengan meningkatkan usaha pendidikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kerana pemahaman yang lebih luas akan mewujudkan momentum keseluruhan yang lebih besar ke arah planet yang lebih hijau.
“Kami percaya dengan menerapkan kemampanan kepada minda muda ini dapat membantu kami untuk memulakan inisiatif celik kewangan dan alam sekitar yang pertama seumpamanya melalui platform perbankan mudah alih, dengan matlamat untuk mengajar kanak-kanak bagaimana pilihan mereka bakal memberi kesan kepada planet ini.
“Berikutan sokongan yang memberangsangkan daripada golongan muda dan ibu bapa mereka, kami akan meneruskan perkongsian dengan APE Malaysia untuk menanam lebih banyak pokok bagi mewujudkan kesan alam sekitar yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan.
HLB Earth Hero ialah inisiatif digital yang bertujuan untuk menerapkan tanggungjawab terhadap alam sekitar, serta memupuk pengurusan wang pintar untuk pelanggan bank junior.
Bagi setiap 20 pokok maya yang ditanam, HLB akan menanam satu pokok sebenar di kawasan Hilir Kinabatangan bagi pihak mereka dan memberikan mereka sijil dengan koordinat lokasi GPS bagi pokok yang ditanam atas nama mereka.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Islamic Bank, Jasani Abdullah memberitahu, dalam perbankan Islam, pihaknya menekankan prinsip berasaskan nilai yang menekankan mewujudkan kesan positif dan mampan kepada masyarakat dan alam sekitar melalui tawaran bank.
“Inisiatif HLB Earth Hero ialah contoh hebat pemikiran di luar kotak tentang cara kami sebagai sebuah institusi kewangan, boleh menggabungkan celik kewangan dan alam sekitar melalui platform perbankan digital yang menyasarkan generasi muda.
“Kami yakin inisiatif ini akan membantu kanak-kanak memupuk pemahaman tentang tanggungjawab mereka dalam menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang,” ujarnya. – UTUSAN