Harga minyak jatuh lebih AS$5 setong - Utusan Malaysia

Harga minyak jatuh lebih AS$5 setong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Niaga hadapan minyak turun lebih AS$5 (RM21.02) setong pada pagi Khamis berikutan berita bahawa pentadbiran Joe Biden sedang menimbang untuk melepaskan kira-kira satu juta tong minyak sehari daripada rizab strategik selama beberapa bulan dalam usaha untuk menenangkan harga minyak mentah yang melambung tinggi.

Niaga hadapan Brent turun AS$4.71 atau 4.2 peratus kepada AS$108.58 (RM456.47) setong dan niaga hadapan West Texas Intermediate AS turun AS$5.45 atau 5.0 peratus kepada AS$102.74 (RM431.92) setong.

Presiden AS dijangka memberi kenyataan mengumumkan rancangan itu, bertujuan untuk menurunkan harga petrol yang telah mencapai paras rekod berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine. 

Harga meningkat sekitar 3.0 peratus kelmarin, didorong oleh kebimbangan bekalan ketika rundingan damai antara Rusia yang menggelar tindakannya sebagai “operasi khas” dan Ukraine nampaknya terhenti.

“Ia adalah satu kejutan sentimen, tetapi jika sejarah baru-baru ini mencadangkan apa-apa pelepasan simpanan hanya akan menjadi pembaikan yang bersifat sementara sahaja,” kata rakan kongsi pengurusan di SPI Asset Management, Stephen Innes.

Pada awal Mac, pentadbiran Biden berkata, pihaknya akan mengeluarkan 30 juta tong daripada rizab strategiknya sebagai sebahagian daripada pelepasan global sebanyak 60 juta tong dalam usaha menurunkan harga.

Pengeluaran itu dibuat apabila stok minyak AS jatuh sebanyak 3.4 juta tong dalam seminggu hingga 25 Mac, melepasi ramalan penurunan satu juta tong, tetapi permintaan tersirat untuk petrol dan sulingan turut menurun.

Permintaan yang semakin perlahan berlaku apabila pengeluaran AS meningkat sebanyak 100,000 tong sehari kepada 11.7 juta tong sehari selepas tidak stabil pada 11.6 juta tong sehari sejak awal Februari.

Rabu lalu, niaga hadapan minyak mentah Brent mencecah paras tertinggi AS$112.78 (RM474.35) sejurus selepas dibuka dan naik 86 sen kepada AS$111.09 (RM467.24), membalikkan kerugian 2.0 peratus pada sesi sebelumnya.

Harga minyak kembali melonjak di tengah-tengah bekalan yang ketat dan prospek peningkatan sekatan baharu Barat terhadap Rusia walaupun tanda-tanda kemajuan muncul daripada rundingan damai antara Moscow dan Kyiv. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya