PETALING JAYA: Syarikat pengeluar minuman halal terkemuka, Kumpulan Etika (Etika), melantik Santharuban Thurai Sundaram sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, menggantikan Khalid Alvi.
Menurut Etika, beliau dilantik pada tempoh yang penting dalam pertumbuhan syarikat sedang membuka ruang untuk alternatif lebih sihat dan pendekatan mampan dalam industri barangan pengguna cepat laris (FMCG).
Jelasnya, Santharuban yang tidak asing dalam industri FMCG, mempunyai pengalaman lebih dua dekad setelah memegang beberapa jawatan penting termasuk Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Perniagaan Gantian Etika, dan CEO Kumpulan Advend, sebuah perniagaan layan diri berpusat di Singapura yang diambil alih pada 2019.
Tambahnya, beliau juga telah menerima beberapa anugerah seperti Ketua Pegawai Pemasaran Terbaik dan banyak lagi.
Katanya, di bawah kepimpinan Santharuban, industri FMCG di Malaysia telah menyaksikan beberapa kempen dan strategi inovatif yang membangkitkan jenama seperti Kopi WONDA, Susu Goodday dengan pertumbuhan jenama seperti Pepsi, Mountain Dew, Tropicana dan lain-lain.
“Santharuban juga telah mengukuhkan pandangan pengguna di Malaysia terhadap konsep layan diri sebagai alternatif kepada pembayaran tanpa sentuh.
“Kadar penggunaan kaedah pembayaran baharu dan teknologi layan diri ini telah berjaya menyaksikan peningkatan sejak bermulanya pandemik,” katanya dalam kenyataan.
Etika berkata, dalam jawatan baharu beliau, Santharuban akan mengetuai usaha pertumbuhan yang konsisten bagi Etika melalui pendigitalan dan strategi pasaran yang inovatif.
Katanya, beliau juga akan menerajui rancangan syarikat untuk menjadi perniagaan yang hijau, mampan, dan cekap menghadapi cabaran alam sekitar dan masyarakat, yang usaha sebelum ini diterajui oleh Khalid.
Mengulas pelantikannya, Santharuban yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei) dan Kumpulan Advend berkata, industri FMCG tidak berhenti mengembang dan banyak yang perlu dilakukan kerana keperluan pengguna sentiasa berubah dengan pantas mengikut trend dan permintaan.
“Bagi kami dalam sektor FMCG, kami perlu mementingkan pendekatan bermatlamat yang boleh mewujudkan kesan positif kepada pengguna, komuniti dan alam sekitar.
“Oleh itu, saya amat berbesar hati untuk dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebuah organisasi seperti Etika yang sentiasa berusaha untuk membina komuniti yang lebih baik.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan rakan sepasukan untuk menghasilkan manfaat yang bernilai untuk pengguna kami,” katanya.
Dalam pada itu, Etika berkata, syarikat telah menunjukkan keupayaannya untuk memenuhi keperluan pengguna dengan mengembangkan portfolio produk melalui pilihan minuman sedia diminum (RTD), tanpa tenusu dan juga tanpa gula tambahan, pada tahun-tahun lalu.
Kumpulan syarikat juga telah memacu inisiatif seperti Etika Cares untuk melaksanakan projek yang bukan sahaja menjadi tonggak sokongan tetapi juga untuk membantu mengekalkan kebajikan masyarakat setempat.
“Melalui kepimpinan baharu Santharuban, pihak berkepentingan dan para pengguna Etika boleh terus menantikan pertumbuhan kumpulan syarikat tersebut dalam industri sebagai perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab,” jelas syarikat itu. – UTUSAN