JOHOR BAHRU: Pembangunan Coronation Square bernilai RM4 bilion di pusat bandar raya ini yang merupakan permata zon ekonomi Ibrahim International Business District (IIBD) dijangka menyumbang lebih RM9 bilion dalam bentuk output ekonomi kelak.
Ini berikutan dataran yang dibangunkan di atas sebuah tapak berkeluasan 9.58 ekar yang dikelilingi Jalan Abdullah Ibrahim dan Jalan Trus itu bakal mengubah wajah bandar raya Johor Bahru dengan mewujudkan sebuah pusat kegiatan kewangan yang baharu.
Pengarah Hal Ehwal Korporat Coronade Properties Sdn. Bhd., Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, Coronation Square juga diyakini mampu menyokong kira-kira 60,000 peluang kerja sepanjang fasa pembangunannya dalam mengubah Johor Bahru menjadi bandar global.
“Coronation Square pastinya akan menawarkan konsep bandar metropolitan serta membantu menempatkan semula Johor Bahru dengan daerah kewangan baharu.
“Berdasarkan saiz, reka bentuk dan skop pembangunannya, ia dijangka dapat memacu pertumbuhan dan membantu meletakkan Johor Bahru sebagai hab komersial dan pusat membeli-belah serantau yang baharu,” katanya pada majlis pelancaran logo dan papan tanda Coronation Square yang disempurnakan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman, di sini, semalam.
Coronation Square adalah pembangunan komersial bersepadu utama yang pertama direka untuk mewujudkan zon kewangan dan pejabat baharu yang disertakan dengan infrastruktur 5G terkini dan bangunan berstatus Gred A.
Sementara itu, Alinah yakin pembangunan Coronation Square akan siap sepenuhnya seperti yang dijadualkan iaitu pada 2028, walaupun berhadapan kekangan akibat pandemik Covid-19 yang berpanjangan ekoran prosedur yang memberi kesan kepada jadual pembinaan.
“Menara Bank Rakyat berketinggian 39 tingkat merupakan satu daripada enam mercu tanda projek Coronation Square yang sudah hampir siap dan akan dibuka mengikut jadual menjelang hujung tahun ini.
“Apabila selesai sepenuhnya, projek campuran bersepadu itu merangkumi pusat beli-belah dan enam menara yang menampilkan dua blok pangsapuri, dua blok pejabat, sebuah hotel dan suite perubatan,” katanya.
Beliau berkata, semua komponen pembangunan utama akan dihubungkan terus dengan Sistem Transit Rapid (RTS) ke Singapura, selain Sky Brigde yang menghubungkan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor Bahru Sentral.
Katanya, projek itu juga mempamerkan beberapa komponen seni bina yang unik termasuk pangsapuri servis ‘Coombe Hill yang dijadualkan siap pada 2025 dan disasarkan kepada mereka yang bekerja di Singapura, selain rakyat negara itu yang ingin berpindah ke sini.
“Turut dijangka siap pada tahun depan adalah suite perubatan yang dibina khas dan dikendalikan oleh KPJ Healthcare Berhad, manakala pusat membeli-belah The Gem yang menawarkan ruang niaga seluas 1.2 juta kaki persegi setinggi tujuh tingkat akan dibuka pada 2024.
“Rangkaian jejambat yang sistematik akan dibina untuk menyalurkan lalu lintas yang kebanyakan daripada bahagian bandar dan lebuh raya di sekitarnya untuk terus ke Coronation Square atau dari Singapura melalui RTS.
“Sistem aliran trafik sistematik ini dijangka memberi kesan positif kepada transformasi infrastruktur Johor Bahru dengan memacu pembaharuan bandar yang pesat,” katanya. – UTUSAN