PETALING JAYA: Bintai Energy Sdn. Bhd. (Bintai Energy), anak syarikat Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) dilantik sebagai pengedar eksklusif untuk paip dan injap yang dibekalkan oleh Kumpulan Gerab di Malaysia dan Brunei.
Gerab ialah stokis pukal terkemuka dan pembekal paip lancar, paip dikimpal dan komponen bersekutu di Timur Tengah untuk industri minyak dan gas, penjanaan kuasa, penyahgaraman air, proses petrokimia, perlombongan, pembinaan dan pembinaan kapal di seluruh dunia.
Bintai Energy telah memeterai Perjanjian Pengedaran dengan Gerab National Enterprises LLC (Gerab) bagi pengedaran paip dan injap untuk perniagaan minyak dan gas yang dibekalkan oleh syarikat itu.
Di bawah Perjanjian Pengedaran, Gerab akan menyediakan maklumat pemasaran, promosi dan lain-lain berkaitan produk untuk menyokong Bintai Energy dalam menguruskan pengedarannya semasa atau selepas penghantaran produk.
Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, perjanjian itu membolehkan Bintai Energy dan Gerab memberikan kerjasama penuh mereka dalam rangka kerja undang-undang, peraturan, peraturan dan polisi domestik untuk memasar dan memenuhi jualan yang dipersetujui bersama.
“Setelah mempertimbangkan semua aspek berkaitan termasuk rasional dan kesan perjanjian, Lembaga Pengarah Bintai berpendapat perjanjian itu adalah demi kepentingan terbaik Kumpulan Bintai kerana ia menceburi perniagaan minyak dan gas,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Naib Presiden Wilayah Timur Jauh Gerab, Nadeem Khan berkata, pihaknya mengharapkan perkongsian yang bermanfaat dengan syarikat sepanjang tempoh perjanjian selama setahun itu berlangsung.
Perjanjian itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas modal saham terbitan dan berbayar Bintai Kinden tetapi dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa hadapan kumpulan. – UTUSAN