PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) telah melancarkan Muamalat Step-Up Auto Financing-i, skim pembiayaan kenderaan berperingkat yang menawarkan pembiayaan kereta mampu milik dengan ansuran yang lebih rendah untuk tiga tahun pertama.
Ia bagi membantu pelanggan mengurangkan beban aliran tunai pembiayaan awal, dan memiliki kenderaan idaman mereka.
Tawaran itu adalah eksklusif untuk kereta jenama Mitsubishi dan Proton di bawah pengedar rangkaian Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sahaja.
Program tersebut bertujuan untuk menawarkan penyelesaian pembiayaan kenderaan mampu milik kepada semua segmen pasaran, sama ada kepada pelanggan muda untuk kereta pertama, mereka yang perlu menukar kereta, atau mereka yang ingin membeli kereta lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Muamalat Step Up Auto Financing-i itu adalah Pembiayaan Kenderaan Muamalat-I (MVF-i) di bawah konsep Syariah Murabahah.
“Ia berbeza dengan pelan pembiayaan kenderaan konvensional yang memerlukan pelanggan membayar ansuran bulanan yang sama sepanjang tempoh pembiayaan.
“Tawaran ansuran yang lebih rendah boleh membantu pelanggan mengurangkan beban aliran tunai mereka, dan boleh membuat simpanan serta mempunyai wang tunai berlebihan untuk pelaburan dan tujuan lain,” katanya dalam kenyataan.
Nilai yang lebih baik juga terjamin untuk semua pelanggan, kerana dengan kerjasama myTukar, mereka boleh menjual semula kenderaan tersebut kepada pakar kereta terpakai ini pada penghujung tempoh tiga tahun pada harga yang dipersetujui pada awal pemilikan.
Program terbabit membawa erti, bergantung kepada tempoh pembiayaan, ansuran bulanan di bawah Muamalat Step Up Auto Financing-i boleh mencapai sehingga 33 peratus lebih rendah berbanding pembiayaan konvensional. Skim ini ditawarkan untuk tempoh pembiayaan lima, tujuh dan sembilan tahun.
Ujar Khairul, selepas tiga tahun pemilikan, pelanggan boleh memilih sama ada untuk meneruskan pembayaran bulanan pada kadar baharu, atau menukar dan menjual semula kenderaan tersebut untuk unit baharu melalui myTukar, yang menawarkan jaminan nilai jualan semula yang tinggi.
“Pelanggan mempunyai pilihan untuk menukar kereta mereka, menaik taraf kepada yang lebih baharu atau menerima pulangan tunai untuk kereta mereka.
“Visi kami adalah untuk sentiasa mewujudkan ekosistem kenderaan dalam talian bersepadu; perkongsian ini membawa kami selangkah lebih dekat, kerana kami mampu menjadikan pembiayaan kenderaan lebih berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata pelancaran skim pembiayaan inovatif sebegini akan dapat memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan lebih nilai dan penyelesaian bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.
“Selaras dengan hala tuju EON untuk memimpin dan menjadi penyedia perkhidmatan automotif yang cemerlang, kami percaya kerjasama itu akan meningkatkan lagi penguasaan pasaran kami.
“Sebagai pengendali rangkaian Mitsubishi dan PROTON terbesar di seluruh negara, EON berupaya menawarkan pelbagai jenis kereta daripada dua jenama terkenal ini kepada pelanggan kami melalui semua cawangan EON,” katanya.
Bank Muamalat merupakan bank pertama yang memperkenalkan pakej pembiayaan kenderaan yang membolehkan pelanggan menikmati bayaran bulanan yang lebih rendah dan fleksibel dengan nilai belian balik yang terjamin. – UTUSAN