PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad mencatatkan keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM256.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, mewakili pertumbuhan 46.8 peratus daripada RM174.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, prestasi cemerlang itu sebahagian besarnya didorong peningkatan jumlah pendapatan, pertumbuhan pembiayaan yang kukuh dan kualiti aset yang lebih baik.
“Bank Muamalat kekal berdaya tahan dalam tempoh yang mencabar, walaupun berdepan risiko daripada kebangkitan semula kes Covid-19 dan sekatan yang memberi kesan kepada operasi perniagaan tahun lepas.
“Walaupun sekatan pergerakan Covid-19 menjejaskan banyak perniagaan dan individu, namun bank terus membantu pelanggan yang menghadapi kekangan kewangan,” katanya dalam kenyataan.
Kumpulan juga mencatatkan pertumbuhan dalam jumlah aset sebanyak 7.0 peratus kepada RM27.6 bilion, berbanding RM25.8 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh 14.46 peratus pertumbuhan atau RM2.6 bilion peningkatan jumlah pembiayaan kasar kepada pelanggan, daripada RM18.2 bilion kepada RM20.9 bilion, setakat 31 Disember 2021, terutamanya daripada segmen perbankan pengguna.
Bank Muamalat juga terus meningkatkan kualiti asetnya, dengan Pembiayaan Terjejas Kasar berada pada 0.83 peratus tahun lalu, berbanding 1.07 peratus pada 2020.
Khairul menambah, Bank Muamalat telah memberi penekanan yang lebih besar untuk mengukuhkan perniagaan melaluinya pelan strategik lima tahun baharu dengan mempergiatkan usaha pendigitalan, pengembangan berterusannya asas pelanggan dan kecekapan perkhidmatan.
“Bank komited kepada pertumbuhan yang mampan melalui penggunaan berterusan inisiatif pengantaraan berasaskan nilai dalam membina keyakinan dan nilai pemegang kepentingan,” katanya. – UTUSAN