PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baharu berkuat kuasa selama tiga
tahun mulai 1 Jun ini hingga 31 Mei 2025.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat selepas Datuk Syed Zaid Syed Jaffar Albar meletak jawatan berkuat kuasa 31 Mei depan sejak berkhidmat pada 1 November 2018.
Katanya, pelantikan Awang Adek bagi memastikan kesinambungan pentadbiran SC selaras dengan seksyen 4(2) Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 [Akta 498].
“Awang Adek mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang pasaran modal dan kewangan Islam. Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Ekonomi daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.”
Antara pengalaman beliau adalah sebagai Penolong Gabenor di Bank Negara Malaysia, bekas ahli Lembaga Pengarah SC, bekas Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Ketua Pengarah pertama bagi Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Persisir Labuan (LOFSA) dan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat,” kata kenyataan itu hari ini.
Berbekalkan pengalaman yang ada, Kementerian Kewangan yakin Awang Adek mampu memberi sumbangan cemerlang demi memastikan SC mencapai matlamatnya untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi. – UTUSAN