Angkasa sasar buka 3,000 Coop MART - Utusan Malaysia

Angkasa sasar buka 3,000 Coop MART

Datuk Abdul Fattah Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan pembukaan 3,000 cawangan Coop MART di seluruh negara sepanjang tahun ini dalam usaha membantu rakyat terutama kumpulan B40 mendapatkan barangan dengan harga lebih rendah. 

Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pada masa ini, sebanyak 2,000 pendaftaran telah diterima dengan 600 daripadanya aktif serta telah menjalankan urus niaga manakala, terdapat kira-kira 1,500 permohonan masih dalam proses.  

“Sasaran kita sebanyak 3,000 cawangan dan untuk satu kedai sahaja, secara purata kira-kira 1,000 pengguna dengan seorang pengguna berbelanja sebulan kira-kira RM200. 

“Justeru untuk satu kedai sahaja, turnover setahun sekurang-kurangnya (boleh mencapai) kira-kira RM2.4 juta,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Program Syukur Itu Indah dan Program ‘Kita Kasih’ Ramadan, di sini kelmarin. 

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini kerajaan sedang menaik taraf Coop MART dan ia melibatkan lima kategori iaitu kiosk, kedai, kedai serbaneka, hypermarket dan supermarket.

Selain itu, katanya, antara barangan yang dijual di Coop MART termasuk keperluan harian, barangan kering dan basah, ubat-ubatan serta pekakas dengan harga lebih murah antara lima hingga 20 peratus bergantung kepada jenis barangan tersebut. 

Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam membantu rakyat mendapatkan bekalan keperluan yang lebih murah dan berpatutan.

“Koperasi juga boleh mempunyai kekuatan dalam menguasai rantaian bekalan daripada pengeluar, pengedar termasuk pengguna sebab kita ada kira-kira 7.1 juta ahli di seluruh negara. 

“Seperti di luar negara misalnya di Jepun, Korea, Singapura, Belanda dan United Kingdom (UK), sektor peruncitan dikawal oleh koperasi, justeru dia boleh kawal harga makanan. Tidak seperti di Malaysia apabila sambutan hari raya, ayam tiada atau ayam dan gula naik harga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya