SEPANG: Hong Leong Yamaha Motor melancarkan Yamaha 135LC FI, motosikal berkapasiti 135cc berklac automatik paling berkuasa dalam pasaran tempatan.
Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Datuk Dr. Jim Khor berkata, model terbaharu itu mampu melangkau keperluan pencinta motosikal di Malaysia.
“Model ini telah direka dan dibangunkan bukan sahaja memenuhi keperluan majoriti penunggang motosikal tempatan di dalam usaha mereka melengkapkan tugasan penunggangan harian, namun ia juga mampu menakluk jalan-jalan raya Malaysia,” katanya pada majlis pelancaran itu, semalam.
Motosikal Yamaha 135LC FI dikuasai oleh enjin serba baharu berkapasiti 135cc, bertepatan dengan kehendak EU4 dari segi prestasi suntikan bahanapi dan klac otomatik bagi membolehkan kuasa pecutan dan prestasi enjin dipertingkatkan daripada model terdahulu.
Penunggang jentera ini boleh memperolehi pengalaman menunggang yang lebih baik dan lancar di atas rekaan kosmetik yang baharu dan aerodinamik.
Aspek keselamatan pada model ini telah dipertingkatkan, dengan penggunaan cakera brek pada sistem brek hadapan dan belakang.
Lampu utama menggunakan LED, serta lampu sokongan dan lampu belakang bagi memastikan fungsi yang lebih meyakinkan serta rupa yang lebih agresif.
Model baharu ini juga didatangkan dengan meter digital penuh yang membolehkan penunggang mendapat lebih banyak informasi penunggangan, sementara kapasiti ruang bahan apinya juga telah dipertingkatkan saiznya ke 4.6 liter agar dapat menambah jarak penunggangan pada setiap tangka penuh.
Yamaha 135LC FI didatangkan dalam empat warna iaitu Merah Delima (Ruby Red), Hijau Kristal (Crystal Cyan), Hitam/Ungu (Midnight Star) dan Kelabu (Desert Storm).
Yamaha 135LC FI mula dijual pada 14 Mac ini dengan harga sebelum cukai jalan dan caj pendaftaran adalah RM 7,798.00 untuk versi standard dan RM 8,198.00 edisi khas. – UTUSAN