THHE, SMHB perluas prospek perniagaan - Utusan Malaysia

THHE, SMHB perluas prospek perniagaan

AHMAD Yusof Mohamad (dua dari kiri) dan Syed Mohamed Adnan menandatangani perjanjian strategik di antara THHE dan SMHB bagi melaksanakan projek pembangunan masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: TH Heavy Engineering Berhad (THHE) memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan SMHB Sdn. Bhd. (SMHB), perunding kejuruteraan infrastruktur mega untuk melaksanakan projek pembangunan masa depan.

Perjanjian kerjasama strategik itu juga bertujuan membina keupayaan dan kapasiti, khususnya dalam bidang pengurusan projek, perancangan projek, reka bentuk, kejuruteraan dan pembinaan loji rawatan air dan pengurusan sisa kumbahan. 

Ini akan membolehkan THHE memastikan kesediaan operasi untuk menawarkan penyelesaian teknikal dan komersial yang menarik untuk air masa depan, air sisa, mitigasi banjir dan keperluan infrastruktur lebuh raya yang diperlukan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ketua Pegawai Eksekutif THHE, Ahmad Yusof Mohamad berkata, kerjasama itu membuka potensi lebih besar, memandangkan prospek kukuh yang dimiliki Malaysia dari segi keperluan infrastruktur masa hadapan. 

Ujarnya, terdapat pertumbuhan yang stabil dalam sektor pembangunan semasa dan pihaknya optimis momentum akan terus meningkat.

“Dengan rangka kerja korporat kami, ini akan memberikan kami kelebihan daya saing untuk memastikan penyampaian projek tepat pada masanya sambil menjaga kepentingan negara. 

“Kami berbesar hati bekerjasama dengan SMHB, rakan kongsi yang mantap dengan rekod prestasi mengagumkan menerusi pengalaman lebih daripada 50 tahun dalam menjalankan projek infrastruktur mega untuk Malaysia. 

“Pengembangan kami ke dalam segmen ini menunjukkan keazaman dan ketangkasan kami sambil kami berusaha untuk mengukuhkan kedudukan kewangan THHE,” katanya dalam kenyataan.

Perjanjian kerjasama telah ditandatangani Ahmad Yusof bagi pihak THHE, manakala SMHB diwakili Pengarah Eksekutifnya, Syed Mohamed Adnan, dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. dan ahli Lembaga Pengarah THHE, Hizamuddin Jamalludin.

Sementara itu, Syed Mohamed Adnan memberitahu, kedudukan strategik THHE dan pelan penyusunan akan datang, pihaknya yakin  dengan set kemahiran dan penawarannya memandangkan THHE mempunyai asas yang kukuh dalam kejuruteraan. 

“Kami berharap dapat meneroka prospek yang berpotensi untuk kedua-dua pihak di samping memanfaatkan kekuatan masing-masing,” ujarnya.

Berdasarkan rekod prestasinya, SMHB telah berjaya menyiapkan lebih daripada 1,000 projek, antaranya terdiri daripada 78 empangan, loji rawatan air (65), loji rawatan kumbahan (23), 2,800 kilometer saluran paip, 40 saliran, tebatan banjir dan pengairan kerja, serta 32 projek rel, jalan raya, lebuh raya dan jambatan. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya