PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) sememangnya akan terus memberikan subsidi kepada bakal jemaah haji yang melabur dalam institusi itu, bertepatan dengan matlamat penubuhannya untuk menguruskan perjalanan jemaah haji sejak 60 tahun lalu.
Namun, ekoran keadaan ekonomi negara dan dunia yang tidak menentu sejak penularan Covid-19, kos perbelanjaan bagi menunaikan haji sudah tentu meningkat, selari dengan kenaikan hampir semua harga barang dan perkhidmatan.
Justeru, timbul persoalan sama ada TH masih mampu mengeluarkan perbelanjaan besar saban tahun untuk menampung subsidi haji para jemaahnya dan adakah perlu institusi itu mempertimbangkan cadangan pemberian subsidi haji bersasar bagi menampung perbelanjaan besar tersebut.
Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berpendapat, mekanisme pemberian subsidi bersasar wajar dilaksanakan dalam keadaan semasa dan disesuaikan dengan keadaan kewangan TH.
Menurutnya, cadangan itu setidaknya boleh dilaksanakan buat sementara waktu dalam keadaan ekonomi yang meruncing sejak kebelakangan ini, dan TH boleh mengembalikan pemberian subsidi haji secara purata setelah ekonomi semakin pulih kelak.
“Pemberian subsidi perlu diteruskan tidak kira apa keadaan sekalipun, TH boleh melaksanakan pemberian subsidi bersasar mengikut kategori iaitu golongan B40 menerima paling banyak subsidi, M40 sederhana dan T20 paling sedikit.
“Ini membolehkan semua golongan mendapat subsidi walaupun tidak secara purata seperti kebiasaannya. Langkah ini mungkin boleh diaplikasikan sekarang, jika dilihat keadaan ekonomi semasa dan kos haji yang meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Abu Sofian menegaskan, pihak pengurusan TH juga perlu melihat secara holistik dalam semua perniagaan dan pelaburan TH supaya tidak terus menghadapi kerugian, seterusnya mengambil langkah proaktif bagi menangani masalah tersebut.
“TH perlu mengkaji semula pelaburan yang tidak wajar dan mengakibatkan kerugian seperti perladangan dan perhotelan. Jika kurang menguntungkan, mungkin lebih baik dilupuskan dengan menjualnya atau menukar model perniagaan yang lebih berdaya saing dalam keadaan semasa.
“Perniagaan yang memberi pulangan pula perlu diberikan suntikan supaya terus memperoleh keuntungan. Itu adalah tanggungjawab dan amanah kepada TH untuk memastikan mereka mempunyai pendapatan yang kemudiannya disalurkan dalam bentuk subsidi kepada para pendeposit,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, TH telah menunjukkan prestasi yang baik dengan agihan keuntungan sebanyak 3.1 peratus bagi 2021 dan perlu terus meningkatkan kecekapan operasi untuk tahun mendatang.
Jelasnya, sekiranya TH terus mempertingkatkan keuntungan dalam pelaburan dan perniagaannya, secara langsung dapat menampung kos dan belanjawan para jemaah haji dengan subsidi menyeluruh.
“Bagi membantu golongan kurang berkemampuan, TH boleh memperkenalkan konsep subsidi bersilang (cross subsidy) yang membolehkan bakal jemaah haji daripada golongan B40 mendapat lebih insentif daripada sedekah jariah golongan berpendapatan tinggi yang berkemampuan.
“Maknanya, golongan yang mampu akan membayar lebih secara sukarela dengan niat sebahagiannya akan disumbangkan kepada jemaah haji daripada golongan kurang berkemampuan.
“Secara tidak langsung, tercapai matlamat jemaah haji yang ingin melakukan ibadah dengan berkongsi sesama mereka,” katanya.- UTUSAN