PUTRAJAYA: Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB) baru-baru ini melancarkan tiga model baharu motosikal jenama berkenaan untuk memenuhi pasaran tempatan.
Tiga model terbabit ialah Suzuki GSX-R150, GSX-S150 dan Raider-R150 Fi. SMSB menyasarkan untuk menjual sebanyak 17,000 unit untuk tempoh penjualan pada tahun pertama kemunculannya bagi ketiga-tiga model ini.
Majlis pelancarannya disempurnakan bersama oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan SMSB, Ahmad Faez Yahaya; Pengurus Besar dan Pengarahnya, Datuk Jeffrey Lim dan Pengerusi Persatuan Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA), Datuk Wee Hong.
Dalam ucapannya, Ahmad Faez berkata, pihaknya sedar, Suzuki mempunyai peminat tersendiri yang tidak jemu-jemu menantikan kehadiran semula motosikal jenama itu di pasaran.
“Atas dasar inilah kami berpendapat, kami harus memperkenalkan bukan satu tetapi tiga model untuk menepati kehendak peminat tegar Suzuki di negara kita,” katanya.
Suzuki GSX-R150 dilihat sebagai saingan hebat untuk Yamaha R15, merupakan motosikal berpenampilan sport dengan kapasiti kuasa yang kecil.
Model ini dijual pada harga RM11,329 sebuah, tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran, dilihat sangat kompetitif buat pesaingnya dengan kuasa maksimum sebanyak 14.1kW @10,500 rpm, sementara daya kilas maksimumnya adalah 14.0 Nm @9,000rpm.
Model GSX-S150 pula sesuai untuk peminat motosikal yang mementingkan keselesaan kedudukan dan penunggangan. Dengan tema ‘naked bike’ model ini dijual pada harga RM 10,289.00 tanpa cukai jalan dan insurans.
Raider-R150 Fi pula boleh dianggap `jelmaan semula’ Suzuki Belang R150. Model ini dijual pada harga bermula RM 8,173.00 tanpa cukai jalan dan insurans.
Selain tiga model di atas, SMSB turut memperkenalkan edisi khas AZLAN SHAH 25 sebagai sokongan ke atas pelumba motogp negara, Azlan Shah. Edisi khas ini dijual pada harga RM 11,988.00 (tidak termasuk cukai jalan dan pendaftaran). Hanya 300 unit model ini akan dijual di pasaran. – utusan