Sime Darby Plantation komited bantu usahawan - Utusan Malaysia

Sime Darby Plantation komited bantu usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) mengumumkan penyertaan 11 rakan niaga yang terpilih bagi Program Pembangunan Vendor (PPV) Bumiputera yang dikelola syarikat tersebut bagi membantu meningkatkan daya saing usahawan Bumiputera dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, komitmen SDP untuk membantu usahawan Bumiputera melalui program PPV telah bermula sejak 2014 lagi, sewaktu syarikat itu masih lagi merupakan anak syarikat dalam Kumpulan Sime Darby. 

Jelasnya, komitmen tersebut diteruskan selepas SDP mula tersenarai sebagai syarikat berhad pada akhir tahun 2017 dan sehingga hari ini, jumlah perolehan SDP yang melibatkan vendor-vendor Bumiputera melalui program tersebut telah melebihi RM200 juta.

“Peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan seperti kami untuk membantu membangunkan para usahawan Bumiputera supaya menjadi lebih kompetitif adalah amat penting. 

“Melalui program ini, SDP tidak hanya membantu memperkasakan para usahawan, kami juga membina kerjasama yang rapat dengan rakan-rakan niaga yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab dalam memastikan keberkesanan aktiviti-aktiviti perolehan dalam mencapai nilai optimum dan menjaga kepentingan pemegang-pemegang saham,” katanya dalam kenyataan.

Vendor-vendor yang diterima untuk menyertai PPV di SDP berpeluang untuk menimba pengetahuan dan meningkatkan kemahiran melalui pelbagai program latihan yang disediakan oleh SDP serta agensi-agensi teknikal terpilih yang merangkumi pelbagai subjek kemahiran seperti pengurusan perniagaan, logistik, kualiti dan produktiviti.

Bersesuaian dengan fokus syarikat tersebut kepada inisiatif-inisiatif mekanisasi dan inovasi perladangan, Ketua Pegawai Pekhidmatan Operasi SDP, Adi Wira Abd Razak berkata, pada tahun ini SDP juga telah mengenal pasti vendor Bumiputera yang akan bekerjasama dalam projek-projek penyelidikan dan pembangunan.

“Kami ingin mempelawa lebih ramai lagi syarikat Bumiputera untuk mendaftar sebagai vendor kami, terutamanya syarikat-syarikat yang boleh memperkenalkan inisiatif-inisiatif inovatif, serta membantu menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi industri sawit negara seperti masalah kekurangan pekerja yang memberi impak kepada produktiviti,” ujarnya.

Syarikat-syarikat yang berminat untuk mendaftar sebagai vendor SDP boleh membuat permohonan di laman web https://procure.simedarbyplantation.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya