Sapura Energy tidak istimewa sehingga perlu intervensi kerajaan - Utusan Malaysia

Sapura Energy tidak istimewa sehingga perlu intervensi kerajaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi berpendapat, Sapura Energy Berhad tidak memerlukan sebarang intervensi daripada pihak kerajaan atau ahli politik untuk menyelamatkannya daripada berdepan risiko muflis.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, tindakan ‘bailout’ untuk membantu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memelihara kepentingan pelabur institusi berkepentingan negara adalah sesuatu yang amat tidak sihat.

“Umum mengetahui, punca kejatuhan Sapura Energy adalah akibat tadbir urus yang pincang dan kerakusan mengaut untung oleh pihak pengurusan atasannya. Kerajaan tidak harus campur tangan, malah duit itu lebih baik digunakan untuk projek pembangunan rakyat dan negara.

“Kerajaan harus bertindak dengan lebih tegas seperti melakukan perakaunan forensik atau audit forensik, serta membawa mereka ke muka pengadilan kerana mengambil kesempatan dan keuntungan sehingga menyebabkan kegagalan syarikat yang mempunyai pelaburan besar daripada institusi berkepentingan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jatuh bangun sesebuah syarikat adalah normal dalam perniagaan dan Sapura Energy tidak terlalu istimewa sehingga perlu intervensi daripada kerajaan atau ahli politik.

“Petronas patut menyelamatkan syarikat itu hanya jika mereka telah melakukan penilaian wajar, dan mengambil alih Sapura Energy akan memberi nilai tambah positif berbanding impak negatif.

“Jika tidak, mereka tidak seharusnya menyelamatkan Sapura Energy kerana Petronas turut mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk bertindak demi kepentingan syarikat,” jelasnya.

Mengulas mengenai impak terhadap Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang merupakan pemegang saham utama Sapura, Ahmed Razman memberitahu, pelaburan PNB dalam Sapura mewakili kurang daripada 1.0 peratus asetnya di bawah pengurusan tetapi pada 4.0 sen saham semasa. 

“Sebanyak 40 peratus pegangan kini telah berkurang kepada RM223.71 juta, kurang 10 peratus daripada RM2.67 bilion yang disuntik pada 2018, tidak termasuk pelaburan terdahulu.

“Adalah penting untuk tahu bahawa PNB membayar dividen kepada pemegang unitnya berdasarkan dividen dan keuntungan modal yang direalisasikan dalam pelaburannya.

“Bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula, 2.9 peratus pegangannya kini bernilai RM18.5 juta sahaja, sangat kecil berbanding RM1 trilion aset di bawah pengurusannya. Jadi, impak negatif kepada PNB dan KWSP yang disebabkan oleh situasi semasa Sapura Energy tidak akan ketara,” katanya. 

Pada 20 Mac lalu, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan melalui Petronas atau Khazanah untuk menyelamatkan Sapura Energy yang kini berdepan risiko muflis.

Najib berkata, rakyat yang memiliki institusi-institusi seperti Petronas atau Khazanah akan kerugian besar jika Sapura Energy tidak diselamatkan.

Contoh-contoh kerugian yang diberikan termasuk kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion dan 10,000 bakal kehilangan pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya