Pusat data hiperskala 200MW dibangunkan di Sedenak - Utusan Malaysia

Pusat data hiperskala 200MW dibangunkan di Sedenak

ILUSTRASI pusat data yang akan dibangunkan Yondr Group di Taman Teknologi Sedenak di Kulai, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebuah pusat data berkapasiti hiperskala 200 megawatt (MW) akan dibangunkan Yondr Group sebagai pemaju, penyedia perkhidmatan dan pemilik yang mengendalikan pusat berkenaan di Taman Teknologi Sedenak, Kulai dekat sini.

Yondr Group akan membangunkan sebuah kompleks pusat data utama di atas tanah seluas 72.8 ekar yang dibeli daripada TPM Technopark Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dave Newitt berkata, kampus hiperskala Yondr akan dibangunkan mengikut fasa dan menjana kapasiti mencecah 200MW apabila siap sepenuhnya, dengan fasa pertama dijadualkan selesai pada 2024. 

“Malaysia adalah sebahagian penting daripada rancangan perkembangan kami di Asia Tenggara. Keupayaan kami menduduki lokasi kritikal ini di Taman Teknologi Sedenak akan menyokong kemudahan sedia ada di Jakarta dan mengukuhkan lagi kedudukan strategik di pasaran pertumbuhan tinggi serantau.

“Malah, dengan capaian kepada kapasiti sekurang-kurangnya 600MW, sambungan gentian gelap, utiliti dan infrastruktur yang boleh diskala kelak, Taman Teknologi Sedenak akan menempatkan beberapa syarikat data dan awan terbesar di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Pengarah Pemerolehan dan Pembangunan Rantau Asia Pasifik bagi Yondr Group, Aksel Vansten pula berkata, rantau Asia Pasifik terus menjadi destinasi pusat data menarik memandangkan lokasi strategik, potensi pertumbuhan, peningkatan ketara dalam rangkaian dan platform teknologi meliputi pelbagai pasaran. 

Menurut beliau, di peringkat Asia Tenggara, saiz pasaran pusat data Malaysia dari segi hasil dijangka mencecah lebih RM3.24 bilion menjelang 2025 dan negara ini sudah pun menikmati tempias pelaburan disebabkan kekurangan tanah di pasaran-pasaran sekitar. 

“Kemudahan di Taman Teknologi Sedenak ini akan memberi peluang kepada pelanggan hiperskala untuk meluaskan kemudahan perkomputeran awan masing-masing dan memanfaatkan lokasi strategiknya berhampiran Singapura dan Indonesia,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Divisyen Hartanah dan Infrastruktur JCorp merangkap Pengerusi TPM Technopark, Datuk Akmal Ahmad berkata, permintaan global bagi pusat data terus berkembang secara eksponen disebabkan perkomputeran awan dan internet mudah alih pengguna.

Kata beliau, penggunaan data yang semakin besar menjadikan pembangunan pusat data hiperskala itu sebagai satu peluang perniagaan serantau dan antarabangsa bagi pelabur dan juga pengendali pusat berkenaan. 

“Keupayaan memanfaatkan kerjasama kukuh Yondr dengan kemudahan hiperskala canggih yang terkemuka akan terus memacu pembangunan infrastruktur teknikal kami yang hakikatnya memenuhi keperluan ekonomi digital negara dan rantau ini yang pantas berkembang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya