SEGMEN SUV atau Sport Utility Vehicle merupakan segmen yang selama ini dikaitkan dengan golongan ‘berada’ kerana rata-ratanya adalah model-model import dan jenama-jenama yang hebat dan gah. Namun, apabila pembuat dan pembekal kereta nasional mula menghasilkan kereta-kereta SUV mereka sendiri, ia ternyata merapatkan jurang kebolehan pemilikan terhadap jentera-jentera seumpama ini.
Proton memulakan ‘perlumbaan’ penghasilan kenderaan SUV dengan memperkenalkan “X70” dan kemudian diikuti oleh Perodua dengan model “Aruz”. Kemudian Proton menghasilkan pula “X50”, disusuli oleh Perodua dengan “Ativa”. Ini jelas memberikan gambaran bahawa selera orang Malaysia kini sudah berubah dan pelbagai serta kemampuan kewangan kini berada di tahap yang lebih tinggi dalam sebahagian besar rakyat.
Tanpa melaga-lagakan dua jenama nasional, Proton X50 telah saya pilih selaku ‘hero’ dalam artikel kali ini. Proton X70 telah dipandu uji beberapa tahun dahulu, namun semenjak kemunculan model X50, saya tertanya-tanya apakah yang membezakan antara kedua-dua model ini. Daripada mata kasar, kedua-duanya adalah SUV, dan umum mengetahui, X70 adalah 1.8cc dan X50 adalah 1.5cc. Saiz X70 secara fizikal kelihatan lebih besar, dan X50 lebih kompak.
Namun begitu, harga pasaran bagi kedua-dua model ini (spesifikasi paling tinggi) ialah RM103,00 (anggaran) untuk X50 dan RM122,800 (anggaran) untuk X70. Angka perbezaan sebanyak lebih kurang RM20,000 mungkin cukup untuk menjustifikasikan kuasa enjin dan ruang kabin serta saiz fizikal yang lebih besar bagi Proton X70. Namun adakah X50 ‘kuno’ atau terlalu asas jika dibandingkan di antara kedua-dua model SUV Proton ini?
PENAMPILAN
X50, dari luar, ternyata lebih sporty, lebih ‘meruncing mencantas angin lalu’. Pilihan warna yang begitu garang, lebih berjiwa muda dan lebih sporty jelas menjadi tarikan utama untuk model ini. Bagi spesifikasi yang paling tinggi, X50 didatangkan dengan roda 18 inci. Lampu LED dan jenis projektor untuk lampu hadapan dan rekaan LED untuk belakang. Grill hadapan yang dijalur dengan warna merah yang begitu kontras dengan warna asas grill tersebut, menaikkan penampilan ‘gaya muda’. Bumbung yang berlainan skim warna dengan keseluruhan kereta juga bertindak menambah perhatian terhadap penampilan X50 ini. Apabila anda beralih ke bahagian belakang kereta, anda tentu akan perasan X50 ini menampilkan 4 corong ekzos, dan bukanlah dipasang sekadar penghias, akan tetapi keempat-empat corong tersebut berfungsi. Ini membayangkan ciri sport dan sekali lagi sebagai tarikan kepada generasi muda.
Tekan penggera tangan anda untuk membuka kunci pintu-pintu X50 ini, anda akan juga terlihat logo Sang Harimau (Thundercat atau Maybank?) yang terpancar di atas bumi di kiri dan kanan X50 anda. Ini bakal menyebabkan anda ingin sentiasa keluar malam dan menayang logo ini diparkir-parkir awam.
Sebaik sahaja anda duduk di kerusi pemandu yang empuk, diperbuat daripada kulit serta mempunyai pelaras elektronik kedudukan dan ketinggian, anda akan terpandang papan siar yang didatangkan dengan dua tona, meter LCD yang berwarna, serta konsol yang lebih tampak terkini iaitu skrin konsol yang berasingan dan tidak seperti X70 yang seperti sebahagian daripada panel depan.
Stereng X50 juga nampak lebih terkini (juga dibalut dengan kulit), serta punat-punat untuk penginderaan elektronik ternyata begitu banyak tersusun untuk pilihan pemandunya. X50 ini ternyata, walau seperti disasarkan untuk golongan muda, ia jelas untuk mereka yang menginginkan prestasi, kemudahan, dan teknologi berada dihujung jari mereka.
PEMANDUAN
Kita ketepikan seketika teknologi yang didatangkan pada X50 ini. Apabila melalui jalan-jalan raya yang tidak rata, berlekuk-lekuk, suspensi X50 ini mampu berfungsi dengan baik dan merendam bunyi-bunyi yang tidak enak apabila terpaksa melaluinya. Namun begitu, mungkin kerana rekaan SUV yang mempunyai kadar ketinggian yang lebih daripada kereta biasa, di kelajuan yang sedikit tinggi, X50 ini akan terasa membuai dan tidak stabil sekiranya permukaan jalan raya berubah daripada rata dan landai kepada beralun-alun dan berbonggol-bonggol. Mungkin, sekiranya X50 ini didatangkan dengan pelarasan sistem penyerap hentakan elektronik, masalah ini akan selesai. Tapi bersiap sedialah dengan penambahan harga sekiranya spesifikasi ini disertakan.
Kebolehan dua variasi prestasi enjin iaitu ekonomi dan sport, sungguh banyak memberikan perbezaan dari segi pemanduan. Pecutan versi ekonomi ternyata agak lambat (hampir setengah saat untuk bertindak), versi sport pula walau agak cepat responnya namun, sekali lagi, perasaan membuai-buai timbul semula apabila mencapai kelajuan tinggi di permukaan jalan raya yang tidak rata.
Enjin 3 silinder beserta pengecas turbo, dibekalkan oleh Geely, dan dipadankan dengan kotak gearnya menggunakan transmisi 7-DCT yang juga digunakan oleh Volvo XC40, ternyata memberikan keseronokan memandu yang optima, namun sekali lagi kerap dikecewakan oleh sistem suspensi apabila kelajuan mula menerjah.
Pemanduan di lebuh raya, sudah tentulah sangat rileks dan senang, terutama dengan bantuan-bantuan elektronik seperti cruise control yang membolehkan anda meluncur di atas lebuh raya dengan kelajuan terkawal, sensor-sensor yang membolehkan anda memandu dalam lorong yang betul, serta membolehkan anda berada dalam jarak antara kenderaan dengan selamat. Bagi variasi spesifikasi tertinggi, sensor hujan pada permukaan cermin hadapan juga turut disertakan dan kebolehan untuk ‘bantuan parkir’ kenderaan anda ternyata satu aspek yang begitu menakjubkan dan wujud dalam variasi kereta nasional.
Namun, terpaksa saya nyatakan di sini, gangguan bunyi dalam kabin pemanduan adalah agak ketara sekali. Bunyi bising golekan tayar terutama pada permukaan tar yang kasar dan bunyi angin di jendela-jendela pintu jelas mengganggu. Seolah-olah satu penyakit setiap kereta-kereta Proton, terdapat bunyi benda bergegar/bergetar, dalam bahagian dalam kabin kereta ketika pemanduan. Agak sedih jugalah masalah ini masih wujud pada kereta Proton, walau pun sudah berganti pembuatan, pemilikan dan penjenamaan.
KESIMPULAN
Apa jua kenderaan yang dihasilkan, dijual dan dimiliki, diakui, tidak semua yang 100 peratus sempurna, baik kenderaan dari negara Barat atau Asia. Begitupun, Proton X50 ini sangat membuat pemandunya teruja, sesuai untuk gaya kehidupan terkini, moden, mementingkan teknologi dan seharian. Sekiranya anda mampu, X50 jelas memberikan kepuasan dan kekurangan yang ada pada jentera ini, dapat diselesaikan dengan mendapatkan aksesori-aksesori pemanduan yang terdapat dalam pasaran.
X50 berjaya membuat saya teruja dengan penampilannya, sementara keupayaan menggabungkan `Gaya dan Teknologi’ membuatkan saya sukar tidur malam selepas memulangkannya pada Proton. – UTUSAN