Proton lancar inisiatif tenaga solar, jimat bil elektrik RM4.39j setahun - Utusan Malaysia

Proton lancar inisiatif tenaga solar, jimat bil elektrik RM4.39j setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proton Holdings Bhd. (Proton) melancarkan inisiatif tenaga solarnya di kilang Tanjung Malim, Perak yang berpotensi untuk mengurangkan bil elektrik sebanyak RM4.39 juta setahun.

Projek itu juga akan membantu pengeluar kereta nasional itu mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak 11,536 tan setahun sambil menjimatkan kos utiliti. 

Gabungan tenaga yang dijana daripada kemudahan panel solar dwi-muka di tempat letak kereta terbesar di Malaysia berserta panel solar yang dipasang di atas bumbung kilangnya ialah 12MWp (puncak Megawatt), cukup untuk memenuhi sehingga 25 peratus daripada penggunaan kuasa kilang itu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Abdullah berkata, kemudahan panel solar PROTON adalah sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat yang menyahut cabaran untuk membantu memenuhi sasaran kerajaan menjadi negara neutral karbon menjelang 2050. 

“Selain daripada penjimatan utiliti, penggunaan sumber tenaga yang bersih dan boleh diperbaharui akan membolehkan kami mengurangkan 11,536 tan karbon dioksida di atmosfera yang dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan ekosistem di Tanjung Malim,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, tempat letak kereta berpusat Proton yang meliputi kawasan seluas 23.4 ekar menyediakan ruang parkir untuk 2,880 kereta dan digunakan sebagai tempat transit untuk kereta yang dikeluarkan di Tanjung Malim sebelum diedarkan kepada pengedar dan cawangan di seluruh negara. 

“Ruang itu kini diliputi oleh 20,544 panel solar dwi muka, yang dinamakan demikian kerana ia boleh menjana tenaga daripada cahaya matahari secara langsung pada bahagian atas serta pantulan cahaya matahari dari permukaan jalan dan kereta yang diletakkan di bawah panel. 

“Ia juga menyediakan tempat berteduh bagi meletakkan dan melindungi kereta yang baru dihasilkan daripada unsur-unsur kerosakan,” ujarnya.

Dibina dan ditauliahkan oleh Kumpulan Pekat dan rakan bersekutunya MFP Solar, kemudahan panel solar tempat letak kereta itu boleh menjana 9MWp dan merupakan yang terbesar di Malaysia dan juga antara semua pengeluar kereta di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya