Prestasi eksport negara meningkat 16.8 peratus - Utusan Malaysia

Prestasi eksport negara meningkat 16.8 peratus

Larangan eksport sawit oleh Indonesia memberi manfaat kepada negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi eksport Malaysia mengekalkan pertumbuhan dua digit pada Februari 2022, meningkat 16.8 peratus kepada RM102.3 bilion tahun ke tahun.

Menurut Jabatan Perangkaan, selari dengan peningkatan eksport, import juga mencatatkan pertumbuhan dua digit 18.4 peratus daripada RM69.7 bilion pada tahun sebelumnya kepada RM82.5 bilion.

Melengkapkan prestasi pertumbuhan eksport dan import, jumlah dagangan berkembang 17.5 peratus kepada RM184.8 bilion berbanding Februari 2021.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif pada Februari 2022 disokong oleh kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

“Eksport domestik berjumlah RM84.2 bilion, menyumbang 82.4 peratus kepada jumlah eksport dan meningkat 17.9 peratus, manakala eksport semula mencatatkan RM18.0 bilion, meningkat 11.7 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.

“Sementara itu, import pada Februari 2022 bernilai RM82.5 bilion, mencatatkan peningkatan 18.4 peratus berbanding Februari 2021.

“Jumlah dagangan meningkat kepada RM184.8 bilion, 17.5 peratus lebih tinggi daripada RM157.3 bilion pada Februari 2021 dan lebihan dagangan, dengan nilai RM19.8 bilion, merupakan lebihan dagangan ke-22 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya dalam kenyataan.

Ujar beliau, berbanding Januari 2022, prestasi eksport, import dan jumlah perdagangan menunjukkan penurunan masing-masing 7.9 peratus, 10.8 peratus dan 9.2 peratus. Sebaliknya, lebihan dagangan meningkat 6.6 peratus, tahun ke tahun.

Jelasnya, pertumbuhan tahunan yang signifikan dalam eksport digambarkan melalui 149 daripada 255 kumpulan barangan menunjukkan peningkatan berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. Bagi import, 159 daripada 256 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

“Peningkatan eksport disumbangkan terutamanya oleh eksport yang lebih tinggi ke China (+RM2.5 bilion), diikuti Singapura (+RM1.8 bilion), Kesatuan Eropah (+RM1.4 bilion), Vietnam (+RM1.4 bilion), Thailand (+RM1.2 bilion) dan Jepun (+RM911.1 juta).

“Selepas menjadi penyumbang utama kepada peningkatan import untuk ke-12 bulan berturut-turut, kedudukan China telah diambil alih oleh Singapura yang meningkat RM2.3 bilion, diikuti Amerika Syarikat (+RM1.8 bilion), Indonesia (+RM1.3 bilion), Taiwan (+RM1.1 bilion), China (+RM957.5 juta) dan Kesatuan Eropah (+RM847.2 juta),” katanya.

Mengulas lanjut mengenai eksport, Mohd. Uzir berkata, peningkatan mengikut produk didorong oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM8.1 bilion), minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM2.3 bilion), kimia dan bahan kimia (+RM1.5 bilion), gas asli cecair (+RM1.3 bilion), barangan perkilangan logam (+RM1.2 bilion) dan barangan perkilangan berasaskan minyak kelapa sawit (+RM1.2 bilion).

Kenaikan import pula dicatatkan bagi barangan elektrik dan elektronik (+RM4.5 bilion), kimia dan bahan kimia (+RM2.0 bilion), keluaran petroleum (+RM1.8 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.1 bilion) dan minyak kelapa sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak kelapa sawit (+RM771.7 juta).

“Di samping itu, prestasi keseluruhan bagi Januari hingga Februari 2022, jumlah dagangan, eksport, import dan lebihan dagangan kekal kukuh dengan pertumbuhan dua digit.

“Jumlah dagangan meningkat 21.4 peratus, disokong oleh perkembangan eksport (+20.4 peratus) serta import (+22.6 peratus). Pada masa yang sama, lebihan dagangan mencatatkan nilai yang lebih tinggi pada RM38.3 bilion,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya