PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) meterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) dan One Biosys Sdn. Bhd. (One Biosys) bagi pembekalan sisa plastik dari tapak pelupusan sampah serta penilaian potensi kerjasama untuk membina kemudahan pengasingan sisa di Malaysia.
Menerusi MoU itu, KDEBWM dan One Biosys akan membekalkan sisa plastik yang terdiri daripada polietilena (PE), polipropilena (PP) serta polietilena terephthalate (PET) kepada PCG untuk pengeluaran produk sirkular bagi pembungkusan makanan serta aplikasi dalam penjagaan kesihatan, isi rumah dan perindustrian.
MoU terbabit juga merangkumi kajian kebolehlaksanaan bersama bagi menilai daya maju komersial pembinaan kemudahan pengasingan sisa di Malaysia untuk memastikan pengasingan sisa plastik yang lebih berkesan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, peralihan kepada ekonomi pekeliling memerlukan penyelesaian baharu untuk menangani jurang dalam rantaian nilai plastik daripada pengurusan sisa yang lebih baik kepada meningkatkan daya maju ekonomi penyelesaian kitar semula.
“Kerjasama ini merupakan langkah seterusnya bagi kami merealisasikan aspirasi untuk menjadi rakan penyelesaian dalam menangani pencemaran plastik di Malaysia selepas memeterai kerjasama kami dengan Plastic Energy Ltd. pada tahun 2019 bagi mewujudkan kemudahan untuk menukar sisa plastik campuran yang tercemar, berkualiti rendah kepada minyak pirolisis.
“Dengan MOU ini, kami dapat mempercepatkan inisiatif ke arah ekonomi pekeliling dalam memastikan penggunaan dan pengeluaran plastik yang mampan,” katanya dalam kenyataan.
Menandatangani MoU bagi pihak PCG ialah Mohd. Yusri, manakala KDEBWM diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ramli Mohd. Tahir dan One Biosys oleh Pengarah Eksekutif, Dr. Muhammad Yani.
Sementara itu, Ramli Mohd. berkata, KDEBWM sentiasa terbuka kepada kerjasama yang akan menyumbang secara mampan kepada ekonomi dan alam sekitar.
“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan PCG, yang merupakan anak syarikat Petronas bagi inisiatif yang kami harap akan menjadi tunggak kepada ekonomi pekeliling di Malaysia,” katanya.
Muhammad Yani pula berkata, pihaknya berharap kerjasama itu dapat memacu kerjasama industri lain dalam pengurusan sisa perbandaran secara menyeluruh melalui penyelesaian yang inovatif dan mampan. – UTUSAN