PETALING JAYA: Perakaunan forensik amat penting untuk memastikan tadbir urus yang baik, integriti dan ketelusan yang terpuji, menurut penganalisis ekonomi.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, melalui perakaunan forensik juga dapat mengesan sebarang pembayaran adalah betul, berpatutan dan kena pada tempatnya.
“Ia dapat memastikan tiada sebarang penyelewengan yang berlaku dan mengenal pasti sekiranya berlaku sebarang penyelewengan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, selain untuk menyiasat penipuan atau penyelewengan, perakaunan forensik amat penting untuk menganalisis kewangan terutamanya untuk digunakan dalam prosiding undang-undang.
“Ia penting untuk mendapatkan bukti jenayah kolar putih dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mengalami masalah kerugian yang berterusan.
“Keputusan audit juga boleh diguna pakai untuk memperbaiki sistem dan prosedur bagi mengelakkannya dari berlaku lagi.
“Perakaunan forensik diadakan bagi tujuan membantu mengetahui sama ada jenayah telah berlaku dan sama ada terdapat niat jenayah dalam syarikat.
“Sebagai contoh adalah, penipuan sekuriti, pengubahan wang haram, mengenal pasti kecurian, penipuan insurans, kecurian pekerja atau pemalsuan maklumat penyata kewangan,” katanya.
Pada 20 Mac lalu, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan melalui Petronas atau Khazanah untuk menyelamatkan Sapura Energy yang kini berdepan risiko muflis.
Bagaimanapun, dalam laporan Utusan Malaysia pada 25 Mac lalu, penganalisis politik berpendapat kerajaan harus bertindak dengan lebih tegas seperti melakukan perakaunan forensik atau audit forensik, serta membawa mereka ke muka pengadilan kerana mengambil kesempatan dan keuntungan sehingga menyebabkan kegagalan syarikat yang mempunyai pelaburan besar daripada institusi berkepentingan negara.
Mengulas lanjut, Aimi Zulhazmi berkata, bagi memastikan dasar, kewajipan syarikat dan operasi harian dilaksanakan dengan baik, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat perlu dilakukan dengan teliti serta menilai pengalamannya yang sebelum ini bagi membuktikan kelayakannya.
“Bagaimanapun, pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif adalah atas pertimbangan dan budi bicara ahli lembaga pengarah.
“Sekiranya pelantikan jawatan itu dibuat walaupun setelah mengetahui rekod buruk individu terbabit, maka kesalahan itu perlu diletakkan kepada lembaga pengarah,” katanya. – UTUSAN