Pelaksanaan gaji minimum perlu lebih teratur - Utusan Malaysia

Pelaksanaan gaji minimum perlu lebih teratur

PELAKSANAAN gaji minimum perlu dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan kepada mana-mana pihak. - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan kadar gaji minimum perlu dibuat secara berperingkat bagi memastikan ia memberi sokongan kepada pertumbuhan dan bukannya memberi tekanan inflasi.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunos berkata, sebagai sebuah bank, pihaknya berbesar hati dengan pelbagai perbincangan umum tentang keperluan untuk meningkatkan pendapatan namun dalam keadaan sekarang, ia perlu mengambil kira kadar pemulihan yang berbeza-beza pada sektor berlainan.

“Pelaksanaan kenaikan gaji minimum perlu mengambil kira situasi semasa setiap industri. Kita perlu mengurangkan gangguan, antaranya dengan memberi masa kepada firma terjejas untuk menyesuaikan diri dan pendekatan secara berfasa.

“Paling penting, perlu ada pelan hala tuju yang jelas supaya semua pihak terkesan, sama ada besar atau kecil boleh membuat perancangan ke arah pemulihan,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

Kerajaan baru-baru ini meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini di seluruh negara, namun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Mengulas mengenai kesan kenaikan harga komoditi kepada inflasi, Nor Shamsiah menjelaskan, meskipun ada tekanan harga yang dihadapi firma dan isi rumah, ia bergantung kepada kedudukan masing-masing.

“Sebagai negara pengeksport bersih komoditi Malaysia bakal mendapat manfaat, yang mana 6.1 peratus daripada eksport negara tahun lalu adalah disumbangkan minyak sawit mentah, tiga peratus gas asli cecair dan 1.6 peratus minyak Brent, ketiga-tiganya menyaksikan lonjakan harga tahun ini.

“Sebagai contoh, ketika harga gas naik, harga baja turut meningkat dan ini memberi tekanan kepada harga makanan, jadi perlu ada kawalan dan harga siling perlu dikekalkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, BNM akan melihat keperluan secara menyeluruh berhubung cadangan penerbitan Mata Wang Digital Bank Pusat (CBDC) sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Buat masa ini tiada cadangan segera untuk menerbitkan, jualan borong dan memansuhkan CBDC kerana sistem pembayaran domestik negara kekal cekap untuk menyokong keperluan ekonomi dan memberi kebenaran untuk pembayaran masa nyata.

“Komponen dasar semasa kita kekal berkesan dalam menjaga kestabilan monetari dan kewangan. BNM sedang giat meningkatkan kapasiti dalaman untuk menyokong keputusan mengenai CBDC,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya