DUIT raya anak yang sepatutnya dijadikan simpanan pada masa kecemasan terpaksa digunakan demi mengejar cita-cita untuk memulakan perniagaan perniagaan.
Nekadnya hanya satu, untuk berjaya dalam bidang yang menjadi minatnya sejak remaja.
Selain itu, bagi pengasas produk Qayra Beauty Empire (QB Empire) Noor Faqirah Abdullah, dia juga mahu membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada orang lain yang kurang bernasib baik.
Namun, sebelum mencapai kejayaan sebagaimana yang dikecapi hari ini, anak jati Pasir Tumboh, Kelantan ini telah menempuh pelbagai dugaan sepanjang empat tahun menjalankan perniagaan sejak dari 2019.
“Saya masih ingat lagi, ketika memulakan perniagaan dahulu, saya langsung tiada modal. Kebetulan pada masa itu, yang ada hanyalah duit raya anak saya berjumlah RM1,500 sahaja.
“Saya gunakan duit anak saya itu untuk dijadikan modal.Apa sahaja tindakan saya pada masa itu saya serahkan sepenuhnya kepada Allah SWT,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Selain itu, Noor Faqirah berkata, dia juga tanpa berfikir panjang terus memulakan perniagaan dengan apa yang ada dahulu, sama ada dalam fikiran atau pengetahuannya.
Ujarnya, dia pasti dan yakin bahawa usaha kuat dan kerja keras tanpa mengenal penat lelah pasti akan menerima hasilnya pada satu masa nanti.
“Disebabkan ayah saya ada ilmu dan pengalaman tentang akar kayu, saya cuba belajar darinya terutama resipi untuk mengurangkan berat badan.
“Sedikit demi sedikit saya usaha dan mula mengambil tempahan dengan kuantiti yang sedikit dahulu. Kemudian, dari semasa ke semasa, jumlah permintaan terus meningkat. Saya sangat bersyukur dengan usaha saya selama ini,” jelasnya.
Dia dalam masa yang sama turut mengakui, produknya ditolak dan tidak mendapat sambutan pada peringkat awal.
Menurutnya, ia bukan sesuatu yang mudah untuk menaruh kepercayaan orang ramai terhadap produknya dan memerlukan kesabaran tinggi.
“Alhamdulilah, daripada zero saya kini cuba menjadi hero dan mengejar cita-cita saya. Setakat ini saya mempunyai seramai 6,000 wakil jualan serta menyasarkan peningkatan sehingga 20,000 orang untuk tahun ini.
“”Jualan daripada wakil jualan yang komited dan rajin boleh mencecah RM400,000 sebulan dan saya berbangga dengan kejayaan mereka menggunakan komisen untuk membeli aset,” ujarnya.
Selepas hampir empat tahun, QB kini terus melebarkan sayap dan mempunyai beberapa produk kesihatan antaranya Slimocha, Slimberry dan Slimming Girdle.
Noor Faqirah dalam masa yang sama turut bercita-cita untuk memiliki bangunan sendiri di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan pada satu masa nanti.
Selain itu, dia juga turut merancang untuk melebarkan sayap perniagaan ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan Singapura.
Dia juga turut menyasarkan keuntungan penjualan sehingga RM25 juta tahun ini berbanding RM17 juta pada tahun lalu.
Dalam pada itu, Noor Faqirah juga turut memberi nasihat kepada semua usahawan baharu agar tidak cepat berputus asa dalam menjalankan perniagaan.
“Perlu diingat apabila berniaga, kita bukan sekadar nak cari duit, tetapi tanamkan niat mahu membantu orang juga.
“Selepas itu, jangan sesekali mengalah terutama orang yang tidak pernah berada dalam bidang ini,” katanya. – UTUSAN